Putrajaya: Penerbit Datuk Yusof Haslam meluahkan harapan agar anaknya yang juga pengarah terkenal Syamsul Yusof, tidak terus menjalani kehidupan bersendirian walaupun melalui dua episod perceraian.
Menurut Yusof, beliau menasihati Syamsul agar membuka lembaran baharu dalam hidup dan mempertimbangkan untuk mencari pasangan hidup, meskipun anaknya itu kini memilih untuk kekal solo buat sementara waktu.
“Tiada makna cari duit dan kaya tapi hidup seorang diri. Nanti akan rasa bosan.
“Saya pesan agar bina hidup baru dan jangan hidup seorang diri, tapi dia kata nak kekal solo buat sementara ini. Katanya ‘nantilah papa’ dan nak fokus kerja, dia pun ada dua lagi projek filem lagi.
“Saya nasihat dia cari pasangan kerana hidup ini kalau tiada pasangan, umpama tidak ada makna. Paling penting dalam kehidupan adalah ketenangan dan bukannya kemewahan,” katanya ketika ditemui usai majlis tayangan perdana filem Blood Brothers Bara Naga di sini, semalam.
Menurutnya, dia juga menitipkan doa agar Syamsul terus kuat mengharungi hari-hari mendatang, lebih-lebih lagi selepas melalui detik sukar dalam kehidupan peribadinya.
“Alhamdulillah dia nampak lebih fokus. Saya melihat proses penggambaran filem Original Gangster yang mengambil masa lama, mungkin disebabkan banyak masalah dalam hidup dia sebelum ini.
“Dia pun saya lihat sudah semakin bersemangat cuma berat badannya sedikit turun dan nampak kurus. Saya pesan pada Syamsul, apa sekalipun dia perlu kuat semangat,” katanya.
Dalam masa sama, Yusof gembira apabila sambutan Aidilfitri tahun ini membawa makna yang lebih istimewa buat keluarganya apabila Syamsul meluangkan masa menyambut lebaran bersama termasuk bercuti di luar negara.
“Sambutan raya kali ini Alhamdulillah, dengan Syamsul balik. Kami pun gembira dan sempat bercuti bersama di Switzerland baru-baru ini,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof menjelaskan beliau tidak pernah mendesak Syamsul untuk kembali menjalin hubungan dengan bekas isterinya, yang juga pelakon Puteri Sarah Liyana.
Sebaliknya, beliau menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi.
“Saya tidak rasa Syamsul serik untuk mempunyai pasangan pada masa akan datang namun sebagai orang tua, saya doakan dia mendapat jodoh yang baik.
“Saya pun tak mahu mendesak dia perlu balik kepada Puteri Sarah. Semua ini ketentuan Allah. Saya rasa Sarah dengan Syamsul akan terus menjadi sahabatlah,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan hubungan Syamsul dan ibu bapanya sudah kembali baik sejak penghujung tahun lalu.
Malah, Syamsul mencuri perhatian apabila sama-sama meraikan 1 Syawal di rumah keluarganya yang turut dihadiri oleh Puteri Sarah.
Untuk rekod, Syamsul melalui dua episod perceraian menerusi perkahwinan pertama dengan Puteri Sarah yang berakhir pada 14 Jun 2023.
Sementara perkahwinan secara rahsia dengan Ira Kazar di Thailand turut tidak dapat diselamatkan selepas disahkan berpisah pada 5 September tahun lalu.