KUALA LUMPUR: Persoalan jodoh dan bila hendak disunting pasti diajukan kepada wanita bujang, terutama tatkala bertemu sanak-saudara pada musim perayaan.
Selebriti yang belum berkahwin juga tidak terlepas daripada soalan ‘cepumas’ itu. Antara yang pasti dihujani soalan nakal itu adalah pelakon yang semakin popular, Trisha Ooi, 26.
Meraikan 1 Syawal di kampung sebelah ibunya di Kluang, Johor, Trisha atau nama penuh, Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi mengakui sudah mempersiapkan diri untuk menjawab persoalan mengenai pasangan hidup.
“Saya ditanya soal jodoh oleh sanak saudara sejak beberapa tahun lalu. Biasanya, mereka tanya siapa temani saya pulang ke kampung atau kebarangkalian untuk saya perkenalkan teman lelaki kepada mereka.
“Apabila sering diajukan soalan seperti ini, saya tidak tahu hendak jawab apa. Saya membalas dengan beritahu mungkin saya masih ‘single’ sebab jodoh masih sesat… Itu yang tak jumpa.
“Apapun saya layan sahaja apa-apa pertanyaan. Cuma, saya harap tahun ini mereka akan lebih tertarik untuk bercakap mengenai kerjaya daripada soal jodoh,” katanya ditemui pada majlis berbuka puasa Astro Shaw bersama anak-anak yatim di sebuah hotel di Bandar Kinrara, Puchong, baru-baru ini.
Trisha yang meraih trofi Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33 bersyukur ibunya amat memahami dan tidak memberi tekanan untuk segera mencari pasangan hidup.
“Sebelum terjun ke dunia seni, ibu bertanya soal jodoh memandangkan saya tidak pernah bawa mana-mana teman lelaki ke rumah untuk diperkenalkan.
“Tetapi apabila saya jadi pelakon, ibu makin faham dan tidak pernah desak saya untuk segera berkahwin. Dia tahu saya hendak fokus kepada kerjaya dan ada banyak lagi impian yang mahu dikejar,” katanya.
Ditanya adakah boleh menerima jodoh yang diatur keluarga, Trisha belum bersedia untuk menamatkan zaman solo.
“Saya terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Kalau sampai seru, saya akur. Setakat ini, tiada siapa yang cuba dekati.
“Tetapi, apa yang boleh saya katakan adalah buat masa ini, saya belum sedia berkahwin. Fokus saya untuk kembangkan lagi karier lakonan saya,” katanya.

Berkongsi sambutan Aidilfitri, pelakon drama rantaian Senyawa itu berkata, semua persiapan dibuat secara sederhana.
“Saya ada tempah baju dan berpakaian sedondon dengan ibu. Kami pilih warna merah jambu cair. Rutin raya saya macam orang lain, kami masak beramai-ramai.
“Biasanya, tugas saya adalah mengemas. Selebihnya, Hari Raya lebih kepada berkumpul bersama sanak saudara dan saling bermaafan,” katanya yang menggemari juadah seperti lemang, rendang dan kuih tart nanas.
Dalam perkembangan lain, Trisha bersyukur peminat memberi reaksi positif selepas melihat poster yang memaparkan dirinya memegang watak wanita kurang upaya (OKU) dalam drama berjudul Mah, seperti yang tular, baru-baru ini.
Malah, ramai menyifatkan Trisha bagai jelmaan Noorkhiriah dan Nad Zainal yang sinonim dengan karakter seumpama itu.
Teruja dengan maklum balas itu, Trisha yang berdarah campuran Cina-Melayu mengakui rasa dihormati jika dirinya dianggap pelapis dua pelakon berkaliber itu.
“Saya bersyukur kalau ada yang melihat saya sebagai pelapis bakat pelakon yang hebat. Saya rasa sangat dihormati dan tersentuh apabila ada yang memberi komen seperti ini,” katanya.
Tambah Trisha, dia enggan terlalu leka dengan pujian, sebaliknya mencari peluang untuk terus belajar agar dapat menjadi pelakon lebih baik.
“Saya tidak anggap ia sebagai jalan mudah untuk mendabik dada dan terlalu yakin. Saya masih belajar melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
“Saya hendak berlakon pun masih takut dan banyak buat persediaan terutama untuk watak Mah,” katanya.