Kuala Lumpur: Pelakon Sekam di Dada, Amyra Rosli menitikberatkan penjagaan pemakanan dan kesihatan tubuh badannya.
Walaupun dilihat kekal langsing, itu tidak memberi ruang untuknya mengabaikan faktor kesihatan.
“Saya mengawal penggambilan gula, kerana faktor peningkatan usia. Jadi, penting untuk kawal gula sebagai langkah menghindari penyakit.
“Kalau kurus sangat pun, apa gunya andai tak sihat. Jadi, yang paling penting dan utama adalah kesihatan,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Amyra, dia juga sentiasa memastikan bergerak aktif serta melakukan pelbagai aktiviti seperti urusan sebagai suri rumah.
“Saya seorang yang aktif, suka melakukan kerja-kerja rumah, melakukan pelbagai aktiviti dan sebagainya. Saya bukan hanya makan, kemudian duduk sahaja,” katanya.
Ditanya mengenai berat badan, Amyra mengakui selesa dengan berat badannya, iaitu 42 kilogram (kg)
“Siapa yang mengenali saya sejak dulu, mereka mungkin tahu, memang beginilah berat badan saya.
“Ketika berusia dalam lingkungan 20-an, saya pernah sedikit berisi, kemudian berat saya kekal sahaja iaitu sekitar 42 kg.
“Sekarang, saya sangat selesa dengan berat badan ini. Paling berat pun, badan saya pernah mencecah 45 kg,” katanya.