Kuala Lumpur: Isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi, mengakui dia tetap menyayangi suaminya walaupun pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadapnya ketika ini.
Afreena berkata, dia tetap menganggap Along sebagai suaminya dan tidak akan sesekali membuka aibnya.
“Tidak apa, awak (Along) boleh dedahkan apa saja kenyataan yang awak mahu.
“Awak masih suami dan saya tidak akan aibkan awak walau apapun yang terjadi atau fitnah awak. Siapa tak sayang suami kan?,” katanya kepada Harian Metro.
Afreena berkata, dia juga terpaksa ‘menelan’ semua kenyataan Along yang mendakwa dirinya menyeleweng dana sebanyak RM100,000.
Malah, dia turut meluahkan perasaan rindu dan sayang serta masih mengambil berat terhadap suaminya itu.
“Scammer 100K? Curang?, sekat keluarga? Apa lagi?
“Apa yang dah jadi kepada suami yang saya kenal? Sebab awak bukan macam ini. Terima kasih suamiku untuk semua ini.
“Tapi saya masih ambil berat, rindu dan sayang,” katanya.
Terdahulu, Along mendakwa isterinya menyeleweng wang dana orang ramai sebanyak RM100,000 yang dikumpul sepanjang dirinya berada dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh.
Bagaimanapun, Afreena telah membuat laporan polis terhadap individu bernama Ika yang didakwa menipu sehingga dia bertindak menyerahkan wang sebanyak RM95,180 atas tujuan untuk membebaskan suaminya itu.
Pada masa sama, Along juga dalam proses untuk memfailkan dan mengesahkan lafaz cerai taklik terhadap isterinya selepas wanita itu didakwa melanggar tiga perkara yang dijanjikan sepanjang sembilan bulan perkahwinan mereka.