SELEPAS kejayaan konsert Ada Apa Dengan Melly Back To School dan Ada Apa Dengan Melly & Friends yang bertemakan malam graduasi, komposer dan penyanyi Indonesia, Melly Goeslaw menunaikan janji untuk mengadakan konsert siri ketiga, Ada Apa Dengan Melly..? Prom Nite pada 31 Mei ini.

Masih mengekalkan lokasi di Axiata Arena, Bukit Jalil kali ini Melly memilih tema Prom Nite bagi menyuntik kelainan kepada peminat setianya.

Melly, 51, berkata, konsert anjuran Icon Entertainment itu akan menampilkan sesuatu yang berbeza, istimewa selain sesuatu yang tidak pernah dibawa sebelum ini.

“Kejutan ini tidak pernah terjadi di Malaysia atau Indonesia, kami cuba tidak kecewakan peminat yang hadir. Ada gimik, sesuatu yang diberikan penonton, pasti ‘keren banget’.

“Pada majlis itu juga, kita akan memilih Prom King dan Queen. Ia pasti akan menjadi suatu majlis tari-menari yang sangat meriah,” katanya.

Melly ditemui pada sidang media Ada Apa Dengan Melly..? Prom Nite di Dadi Cinema, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya mengenai persiapan untuk konsert, pelantun lagu Ku Bahagia itu mendedahkan perlu menurunkan berat badan sebanyak tiga kilogram supaya lebih cergas.

“Temanya parti, harus banyak lagu untuk meloncat (melompat) yang akan dipilih. Jadi, saya perlu turun berat badan supaya mudah untuk menari bersama peminat yang hadir.

“Pemilihan lagu-lagu juga pastinya berbeza daripada dua konsert sebelum ini. Saya ada 600 buah lagu, jadi sebelum ini baru guna 60 buah lagu, jadi masih banyak pilihan.

“Saya juga merancang untuk mengadakan segmen dedikasi untuk penyanyi popular nanti,” katanya.

Pada konsert kali ini Melly sekali lagi menggunakan khidmat pereka fesyen popular Ezuwan Ismail untuk rekaan busananya.

Sementara itu, Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, tradisi menonjolkan tema diteruskan dan ingin mengajak peminat untuk menari bersama penyanyi pujaan mereka.

“Selepas ‘Back to School’, kita ada ‘Majlis Graduasi’, dan seterusnya ‘Prom Nite’ iaitu malam akhir kita di sekolah.

“Untuk kali ini, ia tidak lagi tema baju sekolah, penonton yang hadir boleh mengenakan apa jua pakaian.

“Anggaplah ‘Prom Nite’ atau majlis tari-menari ini sebagai medan pertemuan semula bersama rakan-rakan yang sudah hadir ke dua fasa sebelumnya,” katanya.

Peminat yang ingin menari bersama Melly boleh mendapatkan tiket RM 558 (Prom Kayangan), RM 428 (Pesona Malam), RM 328 (Malam Dipagari Bintang), RM 258 (Gala Glamor (Standing) dan RM 228 (Magis Cahaya Bulan).

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *