Kuala Lumpur: Penyanyi Zubir Khan mengaku merindui tangan kanannya yang putus sejak berusia empat tahun akibat kemalangan membabitkan mesin kek.

Zubir, atau nama sebenarnya Muhammad Zubir Muhammad Ali, 25, berkata, dia juga pernah bermimpi seolah-olah tangan kanannya masih sempurna.

“Saya pernah bermimpi tangan saya masih ada. Bagi saya, tidak salah untuk merindui sesuatu, bukan hanya kepada manusia saja tetapi juga anggota badan sendiri. Dalam mimpi itu, saya bergaya seperti orang yang sempurna. 

“Saya bukan tidak bersyukur. Saya percaya, jika Allah mengambil sesuatu, Dia pasti menggantikannya dengan yang lain.

“Dulu saya pernah anggap diri tidak berguna kerana keadaan tangan begini, tetapi sekarang saya boleh buat banyak perkara termasuk memandu kereta dan menunggang motosikal,” katanya.

Zubir berkata demikian apabila diminta mengulas  mengenai hantaran foto suntingan peminat yang memaparkan dia mempunyai sepasang tangan baru-baru ini.

Menurut Zubir, dia terharu apabila ada peminat sudi menyunting foto miliknya dalam keadaan sempurna.

“Saya kongsikan kepada semua kerinduan itu. Kalau anggap saya tidak bersyukur, terpulanglah. Kita tidak boleh puaskan hati semua. 

“Ada yang baik hati mahu suntingkan gambar seolah-olah saya ada sepasang tangan. Saya ucap terima kasih kepada individu itu,” katanya.

Terdahulu, pelantun lagu Yennode Macha itu mengundang perhatian ramai apabila berkongsi foto dirinya duduk di atas sebuah kereta dan tangan kanannya berada dalam keadaan sempurna.

Dalam ruangan komen, rata-rata warganet memberi kata-kata semangat kepadanya namun terdapat segelintir individu mendakwa dia tidak dapat menerima kekurangan fizikalnya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *