Kuala Lumpur: Penyanyi Nuha Bahrin mendedahkan sedang mengenali hati budi jejaka dikenali sebagai ‘Y’.
Nuha atau nama sebenarnya Nuha Sakina Saiful Bahrin, 25, berkata, dia berkenalan dengan jejaka itu bermula ketika masing-masing terbabit dalam penggambaran video muzik lagunya, Ela Eynak.
“Buat masa ini, kami hanya berkawan dan saling mengenali. Hubungan ini belum sampai ke tahap serius selagi belum ada ikatan perkahwinan.
“Kami pun mula berkenalan semasa proses pembikinan lagu. Sebagai kawan, tak salah kalau keluar bersama, kan?,” katanya.
Dalam pada itu, Nuha kini aktif mempelajari bahasa Arab dan bercadang untuk menghasilkan lebih banyak lagu saduran bagi memenuhi permintaan peminat.
“Saya sangat teruja belajar bahasa Arab, apatah lagi dengan sokongan daripada peminat.
“Dengan menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Arab, proses pembelajaran saya menjadi lebih mudah kerana saya dapat memahami makna di sebalik lirik yang dinyanyikan.
“Buat masa ini, kefasihan saya bertutur masih di peringkat asas, tetapi jika sekadar untuk menyapa orang, itu saya sudah boleh lakukan,” katanya.
Terdahulu, Nuha mencuri tumpuan apabila memuat naik video di TikTok memberi bayangan sedang mengenali lelaki bernama Y.
Bagaimanapun, melihat ruangan komen, rata-rata membuat spekulasi individu itu adalqh seorang pempengaruh dan model.