Mumbai : Bintang Bollywood, Kareena Kapoor Khan berkongsi insiden ngeri yang dialami suaminya, Saif Ali Khan yang cedera ditikam enam kali berikutan pergelutan dengan penceroboh yang memasuki kediaman mereka di Bandra, di sini, kelmarin.

Menerusi kenyataan yang diberikan kepada pihak polis, Kareena memaklumkan penceroboh bertindak agresif dan bergelut dengan Saif sehingga pelakon itu ditikam berkali-kali.

Kareena turut buntu mengenai motif serangan itu kerana penceroboh tidak menyentuh barangan kemas berharga yang berada dalam pandangan jelasnya.

Ketika kejadian, keluarga Saif sempat berpindah ke tingkat 12 kediaman dupleks mereka untuk menyelamatkan diri.

Pengalaman trauma itu membuatkan Kareena sangat terkesan sehingga ditenangkan oleh kakaknya yang juga pelakon, Karisma Kapoor apabila segera tiba dan membawa ke kediamannya di Khar.

Susulan kenyataan yang diberikan Kareena, polis meningkatkan kawalan keselamatan di bangunan Satguru Sharan di Bandra, tempat kediaman Saif, serta di kediaman Karisma di Khar.

Siasatan kini giat dijalankan untuk menjejaki penyerang itu kerana penceroboh tidak mencuri apa-apa menimbulkan persoalan mengenai motif serangan itu.

Polis juga percaya penyerang adalah seorang ‘penjenayah tegar’ selepas mendapati dia menukar pakaian untuk mengelak dikenali.

Rakaman awal dari bangunan Saif menunjukkan suspek memakai kemeja-T lengan panjang berwarna gelap, tetapi kamera litap tertutup (CCTV) berhampiran Lucky Junction kemudian merakamnya memakai kemeja biru muda lengan pendek, menunjukkan rancangan yang disengajakan untuk mengelak dikesan.

Ketika siasatan kes serangan ke atas pelakon Bollywood itu semakin mendapat liputan meluas, difahamkan polis sudah menahan dua individu semalam. Namun, selepas beberapa jam disoal siasat, didapati kedua-dua suspek tidak mempunyai kaitan dengan kes tikaman itu.

Serangan ke atas Saif mengejutkan industri filem India serta peminatnya di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai jenayah di Mumbai.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *