Kuala Lumpur: Hanya sekadar memenuhi tanggungjawab untuk klien.

Ini jawapan diberikan pelakon sensasi, Fattah Amin mengulas kemunculannya bersama Amira Othman dengan berpakaian sedondon warna burgundy pada majlis pengumuman Duta Jakel, kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025 di Wisma Jakel, di sini, hari ini.

Fattah berkata, dia tiada masalah untuk digandingkan dengan Amira sekiranya mampu memberi impak kepada dirinya dan klien terbabit.

“Ini adalah rezeki dan kepercayaan diberikan. Macam saya cakap sebelum ini, kita sama-sama membantu.

“Jakel ambil kami sebagai wajah mereka dan kami bantu untuk mempromosi. Bila Jakel bersetuju untuk menggandingkan saya bersama Amira, itu juga membantu promosi.

“Jadi, kalau perkara itu ada beri kesan kepada klien yang mengambil kami, saya fikir tiada masalah kerana saling bantu-membantu,” katanya.

Menurutnya, dia juga tiada masalah untuk digandingkan dengan Amira untuk projek berikutnya dan dia akan terima untuk memenuhi kepercayaan yang diberikan.

“Tiada masalah. Ini semua adalah rezeki daripada Allah SWT. Kita tak tahu rezeki kita di mana dan bila. Saya berurusan dengan mana-mana wanita atas dasar kerja. Kena tengok juga apa klien nak.

“Saya tak lebih-lebih dan masih menjaga apa yang kami mahu dan apa yang klien nak. Saya rasa itu tak jadi masalah. Asalkan kita ada persefahaman.

“Yang nak jodohkan itu bukan kerja kita. Itu peminat. Tak kisahlah kalau orang cakap yang baik-baik kita aminkan saja,” katanya.

Dia turut menolak istilah menunggang atau menggunakan isu semasa untuk mencari rezeki.

Sementara itu, Amira juga menepis dakwaan dirinya ‘menunggang’ populariti Fattah yang semakin memuncak sejak akhir-akhir ini.

“Saya kurang faham sikit definisi ‘menunggang’ ini. Pada saya semua ini rezeki. Apa yang pasti, segala terjadi dan disusun ini adalah rezeki.

“Saya rasa perkataan ‘menunggang’ itu kurang sesuai digunakan kerana kalau sudah tertulis rezeki, maka macam-macam boleh berlaku.

“Pertama sekali, ia bermula dengan gimik. Apa saja pilihan kita sama ada mahu kontroversi atau tidak, pasti ada kebaikan dan keburukan. Dengan gimik ini pasti ada spekulasi dan sebagainya.

“Tapi, pada saya asalkan ia tidak berlebihan-lebihan. Kalau nampak kami keluar bersama, itu semua atas dasar kerja,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *