PADA usia 68 tahun, penyanyi dan komposer legenda, Datuk M Nasir yang masih aktif dalam kerjaya muzik terus bersemangat tampil dengan karya terbaharu buat peminat.
Buktinya, dia kini muncul dengan berani mempertaruhkan karya Nuri Terbang Malam iaitu sebuah lagu klasik yang dihasilkan pada awal 1900-an.
Lagu Nuri Terbang Malam itu adalah dendangan asal penyanyi, Wayang Semarang dari Pulau Pinang dikenali sebagai Qasim. Ia dipercayai lagu Melayu pertama yang pernah dirakamkan di Singapura pada piring hitam sekitar 1903 oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramophone Company.
M Nasir berkata, sebagai penggiat seni sejati, dia mempunyai hasrat membawakan semula karya muzik lama itu kepada generasi baharu sekarang supaya tidak melupakan asal usul.
“Lagu klasik juga sebenarnya adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita. Jadi, sudah pasti ia juga adalah sebahagian tugas kita untuk terus mengabadikannya.
“Muzik dan lagu semestinya ada sejarah tersendiri untuk dikenang. Umpama tiada yang lama, mana mungkin ada yang baharu. Justeru, ia perlu dipelihara supaya tidak dilupakan.
“Sebagaimana lagu Nuri Terbang Malam ini, saya dapati ia karya muzik klasik yang bagus dan perlu didengarkan semula oleh anak muda penggemar muzik masa kini,” katanya.
Menurut M Nasir, walaupun kemajuan muzik sekarang sudah jauh ke arah lebih moden, namun dia percaya karya klasik masih ada peminat jika diketengahkan semula.
Sementara itu, Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn Bhd, Keon Omar berkata, lagu Nuri Terbang Malam itu juga sebahagian daripada 100 lagu klasik popular yang diberi nafas baharu menerusi projek kerjasama dijalankan.
“Ia adalah kerjasama antara Luncai Emas dan World Business Affairs Sdn Bhd yang kita namakan projek itu sebagai 100 Lagu 100 Tahun yang dicetuskan ideanya oleh Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.
“Ilham murni ini juga membabitkan gandingan komposer dan penerbit terkenal, Azmeer dengan objektif untuk menghimpunkan 100 lagu popular Melayu dari awal abad ke-20 dalam bentuk audio dan buku,” katanya.
Menurut Keon, projek seni yang disifatkan ‘mega’ ini juga bertujuan memperkenalkan semula karya klasik kepada penggemar muzik moden hari ini sebagai penghormatan terhadap sejarah seni muzik tanah air.