ANNYEONGHASEYO! Pelakon Na In Woo manfaatkan peluang menjelaskan isu dirinya dikecualikan daripada menjalani khidmat ketenteraan pada tahun lalu sewaktu hadir di sidang media drama terbarunya, Motel California.
Dia memohon maaf kepada produksi terbabit kerana isu itu menjadi bualan sewaktu penggambarannya. Akuinya, dia sendiri buntu menangani isu berkenaan dan terpaksa berdiam.
“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada pasukan drama saya kerana bercakap mengenai topik peribadi di sidang media ini. Berita itu bocor sewaktu saya sedang jalani penggambaran.
“Saya mendapat panggilan selepas penggambaran itu tamat, pada tengah malam sewaktu fikiran saya melayang-layang. Disebabkan topik itu terlalu sensitif, saya kena pantas buat keputusan.
“Pada akhirnya, saya pilih berdiam. Rasanya ramai sukakan sisi saya yang periang dan positif. Jadi, saya tidak berhajat untuk tunjukkan bahagian diri yang lama,” katanya.
Na In Woo yakin dia mengambil pendekatan yang baik dengan keputusan itu. Dia juga percaya orang akan faham dengan situasinya untuk tidak berkongsi lanjut mengenai isu berkenaan.
“Saya tidak berhasrat untuk mendedahkan penyakit saya. Itu adalah hal peribadi. Tapi saya cakap sejujur yang boleh dengan harapan orang akan memahami situasi itu,” katanya.
Sidang media drama itu menjadi penampilan umum pertamanya susulan berita dirinya mendapat pengecualian penuh menjalani khidmat ketenteraan yang diwajibkan.
Sebelum itu, dia diletakkan dalam status simpanan selepas melakukan pemeriksaan fizikal. Sepatutnya dia dijangka habiskan khidmat sebagai pekerja perkhidmatan awam.
Bagaimanapun, dia tidak menerima panggilan daripada pihak berkuasa tentera selama tiga tahun kerana menerima status simpanan. Disebabkan itu, dia terus mendapat pengecualian penuh.
Pada tahun lalu, seramai 10,000 orang menerima pengecualian sama seperti Na In Woo kerana kekurangan jawatan dalam bahagian perkhidmatan awam.