Kuala Lumpur: “Kepada kalian, jangan resah dan gelisah dengan kami yang masih belum ada anak,” kata penyanyi dan pelakon, Sharul Kamal apabila masih belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata selepas tiga tahun melayari bahtera rumah tangga.
Sharul berkata, biarpun belum diizinkan Tuhan, namun dia dan isteri berada dalam keadaan baik.-ADVERTISEMENT-
“Kami okey saja. Pegangan realisitk dalam kehidupan kena kuat baru tak banyak soalan ‘kenapa tak ada anak lagi’.
“Hidup jangan buat kerja Tuhan, tapi buat kerja insan. Insya-Allah nanti mesti aman,” tulisnya di Instagram sempena ucapan tahun baharu dan ulang tahun perkahwinan ketiganya bersama Raihan Amilin Mohd Roszaimi
Memasuki tahun ketiga usia perkahwinan, Sharul tidak menyangka apabila pernikahan pada usia muda membawa nikmat yang cukup indah.
“Dulu tak terfikir pun, tapi lepas tiga tahun baru terasa betapa nikmatnya kahwin awal tahun. Setiap kali sambut ulang tahun perkahwinan, dapat layan bunga api dengan ramai orang. Seolah-olah mereka tetamu majlis ulang tahun kami.
“Alhamdulillah, tiga tahun sudah usia perkahwinan. Masih lagi diizinkan hidup berdua dan bercinta seperti remaja. Tak ada apa yang dikejar selain bahagia dalam rumah tangga dan reda dari yang Esa,” tulisnya.
Dalam masa sama, Sharul merakamkan rasa bertuah kerana diberikan rezeki yang sudi mengharungi onak dan duri dalam rumah tangga.
“Jauh lagi perjalanan dan banyak lagi pelajaran untuk kami sebagai suami isteri. Untung dapat pasangan yang sudi nak selam lautan hindi sama-sama. Harapnya sampai bila-bila,” katanya.
Sharul melangsungkan pernikahan dengan Raihan yang juga Pegawai Perhubungan Awam dengan sekali lafaz di Masjid Kota Raja, Klang pada 1 Januari 2022.