Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikurniakan sahabat seperti Ajak dan tak sangka dia akan bantu saya sampai tahap macam itu,” kata pelakon dan pelawak senior, Ebby Yus, 59.-ADVERTISEMENT-

Ebby berkata demikian ketika diminta mengulas bantuan yang diberikan pelawak dan penyampai radio, Ajak atau nama sebenarnya, Mohd Hanafi Razak, 39, itu untuk menguruskan cawangan kedua kedai makan miliknya.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 59, berkata, dia memang sudah lama kenal Ajak sejak zaman program Maharaja Lawak lagi.

“Kami mula kenal dan berkawan sejak Ajak mula masuk program Maharaja Lawak dan saya pula diminta pihak Astro untuk buat sesi perkongsian dalam program itu.

“Sepanjang kami kenal dalam program itu, Ajak seorang yang mudah didekati dan merendah diri.

“Bila dapat tahu saya sakit, Ajak ada datang ziarah di rumah dan belikan saya penyedut udara untuk sedut habuk sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai kedai makan pula, kata Ebby, dia ada berkunjung ke kedai makan Ajak yang beroperasi di pusat beli-belah Giant sebelum ini.

“Ajak ada bertanya pada saya ada tak kedai makan yang dia boleh buka cawangan di kawasan Kampung Baru sebab saya tinggal di sana.

“Saya pun tak sangka pula dia nak bagi saya uruskan cawangan kedua kedai makannya itu.

“Difahamkan, selepas tolak semua bayaran pekerja dan sewa, dia akan kongsi keuntungan kedai makan itu dengan saya. Saya juga tidak perlu keluarkan sebarang modal pun,” katanya.

Terdahulu, Ajak dilaporkan berbesar hati membantu Ebby dengan mengambilnya untuk menguruskan cawangan kedua kedai makan miliknya serta berkongsi keuntungan atas dasar persahabatan yang terjalin sejak dulu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *