PENYANYI juga pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim, 51, menyifatkan wajar untuk juri memberikan imuniti sekiranya peserta tersingkir itu didapati berbakat dan mempunyai potensi tersendiri.

Pandangan itu diluahkan Yusry selepas penggunaan imuniti juri pada persembahan minggu pertama program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) yang menyelamatkan peserta dikenali sebagai Rezza Shah, 22.

Pemuda dari Kuching, Sarawak yang difahamkan pernah menyertai satu program realiti nyanyian lain itu dianggap bertuah kerana terselamat daripada penyingkiran di pentas CSOIAM.

“Bagi situasi Rezza Shah, memang pada awalnya dia tersingkir. Tapi, kami sebagai juri sepakat menyelamatkannya dengan imuniti kerana berasa anak muda ini dapat memberikan ‘sesuatu’ yang berbeza.

“Malah, saya fikir ‘tone’ suara dimiliki Rezza Shah itu mungkin jarang kita dapat daripada penyanyi lain. Jadi, ini tanggungjawab kami selaku juri untuk menentukan masa depan peserta sebaiknya apabila CSOIAM ini berakhir.

“Kami (juri) juga tidak mahu bantutkan perjalanan mereka yang ada bakat ini untuk menggapai impian dan harapan. Jadi, wajar buat barisan juri untuk berlaku adil,” kata Yusry.

Menurutnya, pihak produksi juga menghormati setiap keputusan juri dan memberi ruang untuk mereka buat penilaian awal berdasarkan persembahan dalam fasa saringan lagi.

“Sebenarnya penilaian markah kepada peserta sudah ada berdasarkan persembahan yang penonton tidak lihat. Jadi, semua markah itu dikira termasuk persembahan minggu pertama.

“Bagaimanapun, bagi enam peserta lain yang tersingkir itu mempunyai markah rendah. Ini kerana, apa yang mereka berikan adalah persembahan kita pernah lihat dan dibuat lagi.

“Di pentas CSOIAM ini, kita mahu ketengahkan peserta yang mampu berikan lebih lagi dari pelbagai aspek menarik yang ada, terutama peserta yang mempunyai ‘X Factor’,” katanya.

Kata Yusry, CSOIAM pertandingan nyanyian yang mencari seorang juara untuk dinobatkan, tetapi penyanyi itu adalah seseorang yang memiliki banyak perkara lain untuk ditawarkan kepada industri nanti.

Barisan juri tetap CSOIAM adalah Yusry, Ziana Zain dan penyanyi dari Indonesia, Cakra Khan yang menilai persembahan peserta selama lapan minggu persaingan.

Selain Rezza Shah, peserta lain layak bertarung di minggu kedua CSOIAM ialah Jimi, Dayangku Iffah, Dhania, Zazzleen, Eylia Guntabid, Hafiz Zainal, Aniq Iffat, Mariam, Kai Deva, Alya Mardien, Erfarina, Trio XL dan Marygrace.

Dihoskan Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy, CSOIAM mempertaruhkan hadiah lumayan iaitu RM500,000, kereta bernilai RM200,000 dan kontrak rakaman eksklusif di bawah Alternate Records & Talents selama dua tahun kepada juara bertuah.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *