Program realiti yang mempertaruhkan penyanyi berpengalaman sebagai peserta bukan platform pilihan semua orang.

Ada juga segelintir anak seni yang memandang keberadaan program ini sebagai tidak bersesuaian.

Bagi penyanyi, komposer dan penerbit lagu, Damian Mikhail, dia berpegang dengan prinsipnya untuk tidak menyertai program realiti yang mempertandingkan penyanyi berpengalaman.

Menurutnya, program sebegitu sepatutnya lebih berkonsepkan meraikan berbanding mengadili kerana setiap penyanyi memiliki kekuatan masing-masing.

“Sertai atau tidak, suka hati. Masing-masing punya pilihan. Yang tak nak sertai macam saya, okey. Yang nak sertai pun okey, sebab mungkin perlukan platform itu.

“Adakah program itu memalukan artis? Saya dah nyatakan pendirian saya konsisten sebelum ini.

“Format program perlu lebih meraikan daripada mengadili. Peserta terdiri daripada mereka yang sudah ada legasi sebelumnya, sudah ada kekuatan sendiri.

“Itu sebenarnya erti meraikan perbezaan dan kepelbagaian genre. Bukan suruh penyanyi menyanyi lagu bertema luar daripada zon masing-masing,” katanya.

Menurut Damian, konsep yang digunakan dalam program realiti sebegini umpama mempertaruhkan kekurangan artis yang sudah memiliki kedudukan dalam industri.

“Perkara ini nampak seperti ingin menampilkan kekurangan daripada kekuatan mereka. Tiada keperluan untuk artis menyanyi semua genre.

“Di Malaysia saja, semuanya nak ‘rojak’. Nak cari artis ‘jukebox’? Band dari Filipina ramai saja. Tapi, saya faham itu yang penonton nak. Bagi stesen, itu semua adalah mengenai rating.

“Cuba tengok ‘online’ (media sosial), netizen kalau bab artis saja, memang dia suka kutuk-kutuk lebih. Pasti orang akan tonton.

“Hal peribadi artis dijadikan modal dan tempat netizen melepaskan segala cacian dan makian setiap hari. Biasalah, netizen. ‘Supply and demand’,” katanya.

Damian juga tidak melihat program sebegini sebagai platform memandangkan majoriti pesertanya juga kembali menyepi selepas program yang mereka sertai tamat.

“Mana logik nak suruh Malique nyanyi lagu Cindai? Tak boleh pun, tetap ‘legend’ kan? Jadi, program ini sebenarnya menguntungkan artis yang menyertai atau stesen?

“Rasanya lebih kepada stesen sebab boleh menjana pendapatan dari kandungan. Tapi, artis yang bertanding pun dapat sedikit manfaat, dapat duit elaun dan publisiti sekejap. Bukan mereka paksa pun artis ini sertai.

DAMIAN yakin program realiti mempertandingkan artis berpengalaman bukan platform terbaik.
DAMIAN yakin program realiti mempertandingkan artis berpengalaman bukan platform terbaik.

“Platform? Platform untuk apa? Selepas satu musim tamat, ada keluar album? Ada kesinambungan? Tengok yang sebelum-sebelum ini pun kita boleh rumuskan dah, kan?

“Penonton pula dapat hiburan dan bahan untuk membawang di media sosial,” katanya.

Damian kini merakamkan album solo pertamanya yang dilancarkan pada tahun depan di samping mempromosikan lagunya berjudul Hidayah.

“Saya sibuk merakamkan album solo sulung sekarang ni. Insya-Allah, tahun depan dilancarkan.

“Buat masa ini, saya fokus untuk terus mempromosikan single lagu Hidayah yang semakin mendapat ruang di semua stesen radio nasyid dan Islamik.

“Alhamdulillah, lagu ini membantu membuka ruang kepada saya untuk turut menyumbang kepada segmen penonton dan peminat lagu positif juga.

“Sambil-sambil itu, saya ada menerbitkan lagu untuk beberapa bakat baharu daripada pelbagai genre. Lagu rock kapak pun ada,” katanya.

Pada masa sama, Damian juga akan terus mengadakan persembahan bagi mengukuhkan lagi namanya dalam kalangan peminat dan penyokongnya.

“Buat masa ini, saya akan terus adakan persembahan kecil dan sederhana serta di acara tertutup untuk kukuhkan semula ‘fan base’ saya dan mengumpul semula kekuatan penyokong saya dengan mengadakan aktiviti bersama kelab peminat DMFC.

“Program terdekat pada 18 Januari depan, saya adakan persembahan sempena sesi ramah mesra bersama peminat di Mafioso Shellout, Subang,” katanya.

Terbaharu, Damian kini terbabit dalam satu projek dakwah dikenali sebagai podcast Urban Iman yang mula bersiaran Ramadan depan.

“Ia adalah kerjasama antara DMJ Initiative & Persatuan Inspirasi Muallaf. Untuk projek itu, saya bertindak selaku penerbit eksekutif dan salah seorang pengacara podcast,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *