PEMINAT teater tanah air tentunya tahu kehebatan teater muzikal Sudirmania karya dan arahan Khairunazwan Rodzy, terbitan Revolution Stage yang pernah dipentaskan sebelum ini.

Mereka kini berpeluang menyaksikan pementasan terbaharu Sudirmania yang dipentaskan menerusi gabungan kerjasama Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, Pertubuhan Pameran Seni Teater (Pepster), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor (JKKN Selangor), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kerajaan Negeri Selangor, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Sudirman Asset Management dan Revolution Stage pada 27 hingga 29 Disember ini di Panggung Bandaraya (DBKL), Jalan Raja, Kuala Lumpur.

Sudirmania dipentaskan di bawah jenama Siri Karya Agung yang menjadi salah satu program yang diselaraskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui JKKN Selangor dan dilaksanakan oleh Pepster.

Program ini bertujuan mengetengahkan karya seni dan sastera negara serta mempergiatkan persembahan teater warisan dalam kalangan remaja, belia dan masyarakat di Malaysia secara keseluruhannya.

Timbalan Pengarah JKKN Selangor, Norziatul Shuhadah Md Idris berkata, pihaknya berharap penganjuran pementasan Sudirmania dapat membantu dalam menyemarakkan seni budaya dalam bidang teater dan muzik, terutama usaha untuk mengangkat lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad melalui olahan teater muzikal yang digarap supaya ia terus malar segar.

“Selain itu, Siri Karya Agung akan menjadi salah satu platform kepada badan bukan kerajaan (NGO) seni budaya untuk berkarya dengan lebih kreatif dan sudut pandang berbeza.

“Diharap penganjuran Siri Karya Agung: Muzikal Sudirmania ini dapat membantu pembangunan dan penyemarakan seni budaya melalui teater muzikal, sekali gus terus menyokong lagu Sudirman supaya terus mekar di hati masyarakat,” katanya.

Teater Muzikal Sudirmania dibintangi Fimie Don, Amerul Affendi, Puteri Khareeza, Khayrisya Kemal, Kirin Muhd dan ramai lagi.

Khairunazwan berkata, kisah yang ditampilkan bukan kisah Sudirman, tetapi ini kisah semua golongan masyarakat dalam jiwa lagu Sudirman.

“Kali ini ada perubahan istimewa dan penambahan baharu dari pementasan yang pernah diadakan sebelumnya. Jadi, siapa yang pernah menonton, pasti tidak rugi menonton persembahan teater muzikal Sudirmania yang terbaharu ini.

“Teater Muzikal Sudirmania adalah satu projek pementasan teater ‘tribute’ kepada satu-satunya penghibur nombor satu negara, Sudirman Haji Arshad.

“Ia adalah penterjemahan dari lagu nyanyian Sudirman yang dijadikan naskhah pementasan yang digarap kemas menjadi jalan kisah di zaman kegemilangannya,” katanya.

Lagu yang dipilih dalam Sudirmania diolah menjadi sebuah cerita yang bertemakan kehidupan remaja, dewasa dalam gelombang percintaan.

“Sudirmania adalah gabungan empat kisah yang menjadi satu kronologi cerita mengisahkan mengenai masyarakat yang meminati Sudirman sehingga menjadikan lagunya sebagai semangat hidup,” katanya.

Pementasan Teater Muzikal Sudirmania pada 27 Disember berlangsung pada jam 8.30 malam, manakala pada 28 dan 29 Disember berlangsung dua sesi iaitu pada jam 3 petang dan 8.30 malam.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *