OKTOBER tahun lalu Hatta Junction menyertai Konsert Rock Kapak yang berlangsung di Panggung Asia, Kuala Lumpur.
Konsert menampilkan kumpulan Junction, Meditasi dan Desire ini mendapat sambutan sederhana daripada peminat dan pulangan keuntungannya tidak sebesar konsert rock band gergasi lain.
Bagaimanapun, ia bukan isyarat buat dia mengangkat tangan tanda mengaku kalah. Berbekalkan semangat jitu dan iltizam yang tinggi, Hatta, 57, kembali dengan Konsert Rock Kapak 2 yang bakal berlangsung hujung Disember ini di lokasi sama.
Kali ini dia memilih menampilkan Rockapak Band dan dia sendiri bertindak sebagai penyanyi serta kumpulan Gamma dan Gravity. Turut membuat penampilan istimewa ialah Amir SYJ / Sofea dan Joe Rockers.
“Keberanian saya mengadakan Konsert Rock Kapak 2 ini datangnya daripada permintaan peminat. Mereka yang tak datang sebelum ini pun ada yang tanya perkara ini. Dek kerana itu saya usahakan juga konsert siri kedua ini.
“Sekarang ini saya mencuba sebab ini sebenarnya lebih kepada mewujudkan peluang, nak beritahu yang kami masih aktif, masih beraksi atas pentas. Contohnya band pengiring saya Rockapak Band yang menampilkan anggota SYJ/ Sofea yang asal. Sekarang kita tengok SYJ/ Sofea dikendalikan oleh Sofea
Legacy yang dipanggil pelapis. Yang ‘original’ dah tiada.
“Legenda macam itu kalau dibiarkan lama-lama, dia tak aktif lama-lama tiada dan orang dah tak ingat. Orang pun tak tahu perkembangan mereka. Rockapak Band menampilkan Zam SYJ/ Sofea, Mie FTG, Rosdy Desire dan Junction sendiri. Secara tak langsung peminat tahu mereka masih ada,” katanya.
Menurutnya, mereka mungkin akan meraih peluang seterusnya menerusi gabungan bersama pemuzik berbeza nanti dan dia sentiasa bersikap positif melihat mereka memperoleh rezeki dalam seni.
“Itu yang saya nak sebenarnya. Sebab itu saya tampilkan
rakan-rakan perjuangan dalam industri dengan matlamat mungkin selepas ini ada rezeki mereka. Keuntungan memang saya harapkan supaya dapat buat berterusan. Tapi, kalau dah rezeki setakat itu, saya reda. Yang penting dah usaha.
“Saya ada juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak, tapi tajaan mereka bukan dalam bentuk kewangan sebaliknya dalam bentuk barangan. Kena fikir saya dah menyanyi selama 40 tahun. Dari segi perkembangan atau peningkatan itu apa? Ia bukan semata-mata nyanyian dan muzik, tapi juga peningkatan dari segi hidup.
“Dulu saya tak tahu pengurusan acara dan konsert, sekarang saya dah belajar semuanya. Untuk masa ini siri Konsert Rock Kapak akan berlangsung di Kuala Lumpur terlebih dulu. Perancangan untuk bawa keluar ada, tapi kena tengok juga sambutan peminat dan faktor kewangan,” katanya.
Pada masa sama, Hatta turut melahirkan penghargaan kepada generasi muda yang masih meminati muzik rock walaupun lagu-lagunya sudah menjangkau puluhan tahun.
“Kami generasi pemula muzik rock di Malaysia amat berterima kasih atas sokongan generasi baharu yang terus menyokong dan mengenali lagu rock kami melalui teknologi moden. Saya percaya muzik rock akan terus hidup dalam jiwa penggemarnya,” katanya.
Sementara itu, penyanyi Gamma, Blank atau sinonim dengan panggilan Atuk berkongsi perjalanannya untuk menghidupkan kembali kumpulan terbabit yang dikenali menerusi lagu Lembayung, Kembang Terhalang dan Penyair Cinta.
“Sebelum ini saya sering tampil seorang diri. Namun, selepas berbincang dengan anggota asal, mereka setuju untuk kembali bersama. Untuk konsert ini, empat anggota asal Gamma akan turut serta, kecuali pemain dram yang digantikan oleh bekas anggota kumpulan Lela,” katanya.
Konsert Rock Kapak 2 bukan sekadar menampilkan persembahan muzik, tetapi penonton turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, termasuk wang tunai, sijil dan cenderahati eksklusif, hasil tajaan rakan korporat Attah Music.