Sepang: Isteri pelakon dan pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi mengakui berdepan masalah ‘anxiety’ (keresahan) mengenang nasib suami yang kini ditahan susulan dua pertuduhan memiliki ganja.
Afreena bagaimanapun mahu terus kuat dan melawan kepenatan yang dirasai demi memperjuangkan nasib suaminya itu.
“Saya ‘anxiety’ sekarang ini. Isteri mana yang tidak susah hati apabila suami dalam situasi macam ini.
“Sudah tentu saya akan penat dengan situasi yang berlaku ketika ini, tetapi, saya perlu kuat untuk anak-anak.
“Apa yang jadi sekali pun, saya perlu hadapi situasi ini,” katanya ditemui di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Afreena, 32, berjanji akan sentiasa berada di sisi suami untuk memberikan semangat.
“Untuk kes ini, saya cuma mahu semua orang tahu, Along Cham atau Muhammad Nizamudin Ahmad tetap suami saya. Saya akan sentiasa dengannya dalam apa juga keadaan.
“Saya akan berjuang dengan dia. Saya akan mempertahankan hak dia. Tiada isteri yang hendak lihat suami jatuh dan dalam kesakitan.
“Biy (Along), saya tahu perasaan kamu saat berada di dalam. Bertahanlah, saya berjanji awak akan keluar dan kita akan hidup bahagia bersama,” katanya yang bersedih atas apa yang berlaku.
Sementara itu, peguam mewakili Along iaitu Mohd Fadly Hashim menyifatkan anak guam sebagai individu yang kuat dan akan membantu mengendalikan kes berkenaan.
“Dia (Along) seorang yang kuat dan saya akan cuba sedaya upaya untuk bantu dia kendalikan kes ini,” katanya.
Pagi tadi, Along atau nama sebenar, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, didakwa dengan dua pertuduhan miliki ganja di dua mahkamah berasingan di sini, masing-masing membabitkan ganja seberat 58.23 gram dan 2.07 gram.
Bagaimanapun, Along mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan.
Di Mahkamah Sesyen, Along didakwa memiliki ganja seberat 58.23 gram.
Mengikut pertuduhan pertama, selebriti itu didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, dekat sini pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.
Berikutan itu, Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan sebat maksimum 10 sebatan.
Di Mahkamah Majistret, Along didakwa memiliki ganja seberat 2.07 gram mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagaimanapun, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Muhamad Bukhori Ruslan.