SEPANG – Pelakon dan pelawak Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad didakwa dengan dua pertuduhan miliki ganja di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini masing-masing membabitkan ganja seberat 58.23 gram dan 2.07 gram
Bagaimanapun Along mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan.
Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Along didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, dekat sini pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan sebat maksimum 10 sebatan
Hakim Ahmad Fuad menetapkan 27 Januari tahun hadapan bagi sebutan semula kes.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, Along merayu jaminan diberikan kerana anaknya akan bersekolah tahun depan.
“Saya merayu jaminan kerana ada anak mula bersekolah,” katanya.
Namun, Ahmad Fuad tidak membenarkan jaminan berikutan seksyen tersebut memperuntukan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Hakim turut menetapkan sebutan kes untuk laporan kimia pada 27 Januari depan.
Di Mahkamah Majistret, Along turut diheret pertuduhan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Along didakwa memiliki ganja seberat 2.07 gram mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Majistret Muhamad Bukhori Ruslan.
Tarikh perbicaraan ditetapkan 28 Februari tahun hadapan.
Isterinya, Afreena Suhaimi kelihatan berada di mahkamah. – MalaysiaGazette