PENGACARA dan pelakon berpengalaman, Yasmin Hani, 45, bersyukur kerana undangan mengacara dan berlakon tidak pernah putus diterimanya sampai sekarang.
Yasmin atau nama sebenarnya, Yasmin Hani Ismail Richardson berkata, dia akan meneruskan karier seni yang diceburinya sejak dulu selagi masih ada tawaran.
“Saya sudah terbabit dalam bidang seni sejak 1999. Tiada istilah bersara kerana saya melakukan bidang yang diminati dan sudah sebati dalam diri.
“Selain minat, saya juga menyara kehidupan sebagai ibu tunggal bersama dua anak menerusi bidang seni,” katanya.
javascript:falsejavascript:falsejavascript:falsejavascript:falsejavascript:false
Mengenai lakonan lagi, kata Yasmin, dia baru selesai menjalani penggambaran filem sekuel Duyung: Legenda Aurora di Pulau Langkawi, Kedah.
Filem genre komedi fantasi arahan pengarah, Prof Datuk Dr A Razak Mohaideen ini diterajui Maya Karin dan Anna Jobling.
Kata Yasmin, dia melakonkan watak Aspalela dan berganding dengan Saiful Apek (Jimmy) dari filem Duyung pertama dulu.
“Watak Aspalela dalam sekuel Duyung ini santai sahaja, tetapi lebih matang kerana saya dan Apek hanya sambung karakter dari filem pertama dulu.
“Saya juga selesa dan mudah bekerja dengan Prof Razak kerana dia pengarah berpengalaman, profesional dan seperti figura seorang bapa di lokasi,” katanya.
Dari segi cabaran pula, kata Yasmin, ia membabitkan masalah cuaca seperti hujan, ribut pasir di Pulau Langkawi.
“Penggambaran filem Duyung bermula 13 September lalu di Pulau Langkawi.
“Sepatutnya saya dijadualkan hanya tujuh hari di sana, tetapi terpaksa berkampung 10 hari untuk penggambaran kerana masalah cuaca.
“Namun, kerja penggambaran berjaya disiapkan seperti direncanakan,” katanya.
Filem sekuel Duyung terbitan KRU Studios Sdn Bhd dengan kerjasama 8 Bit Studio Sdn Bhd dan Primeworks Studios Sdn Bhd.
Beralih sisi peribadinya pula, kata Yasmin, hubungannya dengan bekas suami, Sha’arin Razali, 55, juga masih baik walaupun sudah bercerai.
“Saya juga ada sistem sokongan keluarga yang kuat selepas bercerai.
“Saya dan bekas suami juga sepakat untuk hak jagaan anak bersama sehingga mereka besar.
“Sha’arin pun tidak kahwin semula selepas bercerai dengan saya dan anak-anaknya dari perkahwinan terdahulu juga sudah besar dan ada yang sudah berumah tangga,” katanya yang baru sahaja putus cinta dengan pelakon, Alif Hadi, 36.
Pada masa sama, kata Yasmin lagi, dia juga tidak risau untuk ke lokasi penggambaran kerana bekas suami ambil alih menjaga anak-anak bila dia keluar bekerja.
“Kondo tempat saya tinggal juga berhampiran rumahnya.
“Kami juga kongsi pembantu rumah dan keadaan rumahnya juga lebih terurus kerana seminggu sekali pembantu rumah saya bersihkan rumahnya.
“Selalunya, saya yang hantar anak-anak pergi sekolah dan dia pula ambil anak balik dari sekolah,” katanya.
Yasmin dan Sha’arin yang juga bekas pemain dram kumpulan Blackrose mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong, 10, dan Eissa Elzander Wong, 7.
Namun, jodoh tak panjang dan mereka sah bercerai pada Disember 2021.