Buenos Aires: Bekas anggota kumpulan One Direction, Liam Payne, 31, maut selepas terjatuh dari balkoni bilik tingkat tiga hotel didiaminya, di sini, hari ini.
Menurut polis, mereka mendapat panggilan ke hotel berkenaan selepas mendapat maklumat terdapat seorang lelaki berkelakuan agresif dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
Pengurus hotel memberitahu terdengar bunyi bising di belakang hotel dan apabila polis tiba, seorang lelaki ditemui jatuh dari balkoni biliknya.
Pihak kecemasan di lokasi kemudian mengesahkan kematian penyanyi itu.
“Kami sangat berduka cita mendengar pemergian tragis Liam Payne hari ini. Saat penuh duka ini, ingatan kami titipkan buat keluarganya, orang tersayang, dan peminat,” tulis MTV menerusi X.
Syarikat rakaman Payne iaitu Republic Records, dan pemiliknya Universal Music Group belum mengeluarkan sebarang komen setakat ini.
Penyanyi itu mencetus fenomena dan mencipta nama sebagai anggota One Direction bersama Harry Styles, Zayn Malik, Niall Horan dan Louis Tomlinson.
Kumpulan itu berjaya mendapat tempat ketiga dalam program terkemuka X Factor Britain pada 2010. Kemudian pada 2016, mereka berpecah untuk fokus kerjaya solo masing-masing.
One Direction disenaraikan sebagai tiga ‘boy band’ paling agung sepanjang zaman oleh Entertainment Weekly pada 2024. Menerut Celebrity Netflix Worth, jumlah pendapatan Payne mencecah RM301 juta.
Mendiang memiliki seorang anak lelaki iaitu Bear, 7, hasil hubungannya bersama Cheryl yang juga anggota Girls Aloud.
Awal bulan ini, Payne sempat menghadiri konsert rakannya Niall Horan di sini.
Dia juga ada bercakap secara terbuka mengenai pergelutannya dengan masalah ketagihan selain memasuki pusat pemulihan.
Sebelum kejadian tragis itu, Payne mengumumkan di Snapchat mengenai kunjungannya ke negara itu. Dia kelihatan riang berbicara mengenai aktivitinya di sana.