Kuala Lumpur: Pelakon Alif Hadi, 36, mendedahkan hubungan cintanya selama lebih tiga tahun dengan pelakon, Yasmin Hani, 41, sudah putus sejak dua bulan lalu dan dia reda dengan perpisahan itu.

Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdul Hadi berkata, mereka tidak menghebahkannya sebelum ini kerana perkara itu terlalu sensitif.

“Sudah berseorangan. Sebenarnya saya tak nak komen sangat pasal hal itu kerana sangat sensitif buat saya. Hal yang tak elok, saya tak nak hebahkan. Kalau tiba masa orang tahu, tahulah.

“Mungkin sampai situ saja jodoh saya. Saya tak nak cakap siapa salah. Ini keputusan kami bersama. Pastinya perancangan saya tidak sehebat perancangan Tuhan. Saya berserah saja,” katanya.

Alif berkongsi perkara itu sewaktu diaju soalan kenapa dia hadir berseorangan menerima trofi Aktor Pembantu Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36, baru-baru ini.

Pelakon filem Jemputan Ke Neraka itu memang sedih kerana pernah mengimpikan hubungan itu akan membawa kepada perkahwinan. Namun, dia segera kuatkan hati menghadapinya demi teruskan ke depan.

“Memang ada rasa sedih itu kerana tiga tahun kan (bercinta). Tapi pada masa sama, saya pun tak nak buang masa. Kita kena ‘move on’. Tuhan Maha Perancang.

“Awal-awal itu memang rasa ‘down’ sangat. Tapi selepas itu saya terus alih fokus untuk diri sendiri. Alhamdulillah kerja saya tak henti-henti.

“Kalau ketika itu tak ada kerja, mungkin lebih teruk kot keadaan mental saya. Dia ‘ambil’ satu nikmat daripada saya, gantikan yang lebih manis,” katanya.

Alif bagaimanapun bersyukur perpisahan itu berlaku dengan baik.

Katanya, dia dan Yasmin tidak bergaduh pun dan Alif masih kekal rapat dengan anak-anak Yasmin.

“Saya masih lagi berhubung dengannya. Kadang-kadang anaknya telefon nak cakap dengan saya. Mereka nak jumpa saya. Saya cakap habis ABPBH, nanti cari masa jumpa.

“Tapi hubungan sesama kami masih baiklah. Tiada bergaduh atau apa. Saya pun rasa, kalau tak ada jodoh, buat apa hendak bermasam-masam muka, bermusuhan. Industri kita ini kecil saja,” katanya.

Yasmin atau nama sebenarnya Yasmin Hani Ismail Richardson pernah mendirikan rumah tangga dengan Sha’arin yang juga bekas pemain dram Black Rose pada 2015. Mereka bercerai selepas 10 tahun berkahwin berpunca daripada tiada persefahaman.

Perkahwinan mereka diserikan dengan dua cahaya mata lelaki iaitu Noah Ismail Wong, 10; dan Eissa Elzander Wong, 7.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *