MARSHA. FOTO Arkib NSTP
Kuala Lumpur: Penyanyi, Marsha Milan Londoh mengesahkan namanya tersenarai antara penerima Anugerah Darjah Kinabalu (ADK) sempena ulang tahun Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) Tun Juhar Mahiruddin yang ke-71.
“Syukur nama saya ada dalam senarai yang dikeluarkan oleh Istana Sabah. Saya pun dah tengok watikah ini dan ia benar.
“Namun, saya tak berani nak berikan sebarang kenyataan kerana masih belum menerima anugerah ini secara rasmi.
“Berdebar juga nak masuk Istana Sabah. Saya pernah masuk situ ketika TYT terdahulu,” katanya ketika ditemui di sidang media program realiti A Milion Voice (AMV) di Kuala Lumpur.
Marsha berkata demikian susulan syarikat rakamannya, alternate.my_ mengeluarkan kenyataan berhubung penganugerahan itu di Instagram.
Penyanyi kelahiran Tamparuli itu menjadi antara 274 individu yang tersenarai menerima penerima ADK kali ini.
Menurutnya, pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus memperjuangkan budaya dan muzik negeri Sabah kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Selama 20 tahun dalam industri hiburan, saya tak pernah jemu untuk mempromosi budaya dan muzik negeri asal kelahiran saya.
“Bagaimanapun, segala usaha dicurahkan untuk mengangkat martabat Sabah bukan bertujuan untuk mengejar sebarang pengiktirafan.
“Jika tak dapat pingat pun, saya tetap akan berusaha untuk mempromosi budaya negeri saya. Saya akan gunakan platform yang ada untuk kongsikan karya dari Sabah di sini,” katanya.
Marsha pernah tampil menerusi lagu Sumandak Sabah bersama Velvet Aduk.
Dalam perkembangan berkaitan, Marsha ditampilkan bersama Datuk Awie dan Datuk Hattan sebagai juri program AMV, manakala Joey Daud sebagai hos.
Program ini mencari bakat baharu untuk menjadi ikon muzik. Sesi pertama pencarian bakat bermula hujung Oktober ini secara dalam talian dengan cara menghantar video persembahan mereka melalui media sosial.