Kuala Lumpur: “Go Fattah… jangan patah semangat, Fattah!”.
Itu kata-kata semangat daripada seorang ‘kakak’ yang juga penyanyi dan pelakon, Keena Mentor kepada Fattah Amin yang dianggap sebagai ‘budak skema’.
Dalam hantaran di Facebook, Keena berkongsi pengalamannya bersama Fattah ketika berlakon dalam drama bersiri, Hello Mr Perfect pada 2015.
Drama itu juga adalah lakonan pertama Fattah ketika mula-mula terbabit dalam bidang lakonan.
Keena juga berkongsi
“Ketika saya menerima skrip drama Hello Mr Perfect, saya bertanya siapa pelakon utamanya. Produksi memberitahu, Fattah Amin. Siapa Fattah Amin? Budak baru.
“Drama itu adalah drama pertama Fattah. Saya banyak bekerja dalam drama bersama ‘budak skema’ ini termasuklah drama Siapa Dia, Bodyguard, Cik Siti dan beberapa lagi.
“Sepanjang saya bekerja dengan Fattah, dia seorang yang pendiam. Di lokasi, dia hanya buat hal dia sendiri, makan bersama-sama kru dan bukan jenis yang suka ‘merewang’ atau kaki perempuan.
“Mana mungkin dia curang. Pemalu budak Fattah ini, satu lagi, dia tak kedekut dan selalu belanja kru,” tulisnya.
Menurut Keena lagi, Fattah yang dikenalinya bukan jenis lelaki yang gemar melayan wanita sesuka hati dan sangat menghormati orang lain.
“Selepas beberapa drama, dia sibuk menjadi duta jenama. Dia bukan jenis bermain cinta. Walaupun ramai peminat wanita, dia bukan jenis yang ‘melayan’. Jadi, kamu percaya dia curang?
“Saya tua tiga tahun daripada dia. Di lokasi, dia hormat saya seperti kakaknya. Dia sangat menghormati orang dan berasal dari keluarga yang baik-baik
“Lagipun, dia bukan jenis bercerita mengenai hal orang lain di set. Tidak pernah ada di bibirnya untuk mengumpat. Kamu nilailah Fattah ini macam mana.
“Sekarang, teruskan kerjaya kamu. Saya bangga melihat Fattah dalam filem Mat Kilau. Jauh berbeza lakonannya berbanding sebelum ini,” tulisnya.
Keena yang juga meminati aktiviti bermotosikal kuasa tiggi turut mengajak Fattah menyertainya memandangkan kini sudah kembali solo.
“Saya panggil dia ‘budak skema’ kerana dia selalu menunduk apabila bertemu orang, memberi salam, dan menghormati semua orang.
“Sentiasa tersenyum. Bagus ajaran ibu bapa dalam mendidiknya. Apa pun, saya tetap menyokong Fattah dalam bidang seni.
“Jom makan cendol. Dah single tu, bolehlah bawa Harley Davidson, Fattah Amin!” tulisnya.