Kuala Lumpur: Penyanyi Najwa Latif yang kini mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci bersama suaminya, Akwa Arifin memohon Tuhan untuk memanjangkan jodoh mereka dalam tempoh waktu yang panjang.
Najwa berkata, dia juga tidak menyangka apabila Tuhan mengotakan janji-Nya untuk dia bersama dengan insan tercinta di Makkah.
“Kali terakhir saya datang ke sini, salah satu perkara yang saya doakan adalah memohon Tuhan hadirkan kepada saya orang terbaik untuk menemani saya, hanya jika Dia mengizinkan.
“Kali ini, saya kembali dengan doa yang Tuhan sudah makbulkan. Pinjamkan dia pada Wawa lebih lama sedikit ya Allah? Kalau boleh, hingga ke syurga,” tulisnya.
Wawa berkongsi luahan isi hatinya menerusi satu hantaran di Instagram Story bersama suami dengan berlatar belakangkan Kaabah.
Dalam hantaran berbeza, Najwa turut memuji keperibadian Akwa yang sudi menjaga dia dan seluruh keluarga yang mengikuti ke Tanah Suci.
“Walaupun dia bersama mak, kakak, isteri, mak mentua, kawan-kawan mak mentua, tapi dia sekali pun tak mengeluh dalam enam hari di Makkah.
“Saya bangga dengan kamu, sayang. Terima kasih sudi teman kami, bila perlu,” katanya.
Najwa dan Akwa mendirikan rumah tangga pada 11 November 2022 di Batu Pahat, Johor.