Kuala Lumpur: Perkongsian istimewa pasangan selebriti, Nur Fazura dan Fattah Amin di media sosial sempena ulang tahun kelahiran anak perempuan mereka, Nur Fatima Aisya menarik perhatian ramai.
Fazura menerusi hantaran di Instagram, menitipkan doa agar sentiasa bersyukur dalam apa juga situasi selain memohon maaf kerana tidak dapat mengadakan parti ulang tahun seperti sebelumnya.
“BismillahiMasyaAllah.. Syukur Alhamdulillah.. Genap hari ini anakanda ku Nur Fatima Aisya mencapai umur ke 4 tahun. .
“Walaupun tahun ini mommy tak dapat ‘throw you the biggest private parties like I have in the past, but rest assured that I love you more than words can ever describe’ (sekalipun tidak dapat mengadakan majlis sambutan istimewa yang pernah dibuat sebelum ini namun apa yang pasti saya sangat sayangkan kamu hingga sukar diungkapkan dengan kata-kata).
“Bersyukur sentiasa wahai anakku sayang di dalam apa saja keadaan dan selalu lah berterima kasih kepada Allah SWT dan hargai semua orang yang menyayangi mu.” tulisnya.
Sementara itu, Fattah dalam hantaran berbeza turut meluahkan rasa rindu pada anak perempuannya itu serta mendoakan agar Fatima membesar menjadi anak yang solehah.
“Selamat hari lahir anakku Nur Fatima Aisya Binti Abdul Fattah. Semoga membesar sihat menjadi anak yang solehah, bijak pandai, sihat walafiat dan sentiasa di bawah perlindungan Allah S.W.T. ‘Daddy misses you’ (Ayah rindukan kamu).” tulisnya.
Minggu lalu, Fazura dan Fattah hadir ke Mahkamah Syariah Subang Bestari bagi prosiding perceraian.
Bagaimanapun, Fattah masih belum bersedia melepaskan Fazura kerana mengakui masih sayangkan isterinya.
Mahkamah kemudian menangguhkan kes berkenaan kepada 7 Oktober ini. Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.