Kuala Lumpur: Pelakon, Fasha Sandha berkongsi rasa sedih mengenai situasi melanda rumah tangga sahabatnya yang juga pelakon, Nur Fazura.

Fasha ketika ditemui di Program Zumba bersama Abby Abadi berkata, dia yang bersahabat dengan Fazura sejak remaja malah sentiasa mengenang budi pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu ketika bergelar ibu tunggal.

“Saya menangis sebab ingat pengorbanan Fazura beri baju raya sampai 20 pasang pada saya. Air mata ini bukan drama, kalau boleh tak mahu nangis namun apa yang terjadi adalah dugaan untuk Fazura dan keluarga.

“Fazura sentiasa layan saya dengan baik. Saya kenang budi Fazura. Dia tidak pernah lupa memberikan saya baju raya sepanjang tiga tahun saya bergelar ibu tunggal,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Fasha, 40, dia dan suaminya, Aidil Aziz, 37, tidak pernah berbicara mengenai artis lain, namun apa yang berlaku kepada rumah tangga Fazura dan Fattah menyentuh emosi mereka.

“Saya dan Fazura kenal sejak usia saya 17 tahun, Fattah pula kawan dengan Aidil. Dua-dua kawan saya. Fazura adalah antara selebriti idola saya.

“Saya dan suami tak pernah bersembang mengenai rumah tangga artis lain. Tetapi apabila membabitkan Fattah dan Fazura, kami berdua sangat emosi sehingga menangis,” katanya.

Fasha juga menasihatkan agar orang ramai tidak membuat spekulasi keterlaluan mengenai situasi rumah tangga pasangan pelakon itu.

“Fattah dan Fazura datang dari keluarga yang baik. Kita sebagai orang luar tak boleh menilai apa yang berlaku kepada mereka. Hanya mereka yang tahu kisah sebenar.

“Tak perlu juga buat kronologi sendiri. Apa yang sepatutnya kita buat adalah mendoakan yang terbaik buat mereka. Jangan tambah yang bukan-bukan kerana itu boleh menambah kedukaan di hati Fattah dan Fazura.

“Saya mendoakan yang baik-baik buat mereka. Sebagai sahabat sudah pasti tak mahu melihat dia di fasa terendah, namun hanya Fazura tahu apa yang dia lalui.

“Kenapa dia minta cerai, hanya dia yang tahu. Sebab wanita ini ada hadnya. Saya juga pernah melalui kegagalan dalam perkahwinan. Saya pernah failkan perceraian terhadap bekas suami iaitu Jejai,” katanya.

Terdahulu, pada 13 September lalu, Fazura memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Menerusi sebutan kes permohonan perceraian yang berlangsung pada Rabu, mahkamah meminta pasangan selebriti itu menyelesaikan konflik rumah tangga mereka di luar mahkamah sebelum tarikh sebutan semula pada 7 Oktober ini.

Fattah dan Fazura berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *