Kuala Lumpur : Pelakon baharu kacukan Melayu-Inggeris, Arabella Ellen, 19, tidak akan menolak tawaran berlakon dengan ‘hero’ berstatus suami orang walaupun ketika ini hangat kisah ‘penyondol’ atau orang ketiga.

Arabella atau nama sebenarnya, Arabella Ellen John Robert Nelson ditemui berkata, baginya pembabitan dalam bidang lakonan sebagai karier tetap pada masa ini adalah untuk bekerja dan mencari pendapatan sendiri.

“Saya akan tetap terima tawaran itu (berlakon dengan suami orang), sebab bagi saya itu adalah kerja. Berlakon dekat situ, kerja dan habis di situ saja. Semua habis situ (set penggambaran).

“Risau itu memang ada risau. Tapi, buat masa sekarang saya memang tidak fokus dengan hal sebegitu (rakan pelakon suami orang). Ketika ini, saya hanya fokus sepenuhnya terhadap kerja saya saja.

“Dalam fikiran saya sekarang pun hanya nak bekerja. Jadi, kalau kena berlakon dengan suami orang ke, saya terima sebab itu bukan satu halangan kepada saya untuk bina karier ini (lakonan),” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Arabella hadir pada sesi tayangan drama Dari Mata Turun Ke Hati lakonannya sebagai gadis cacat penglihatan di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields di sini, malam tadi.

Hadir sama menyaksikan tayangan episod pertama drama itu ialah Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Datuk George Thomas.

Berbicara juga mengenai drama berkenaan, Arabella berkata, dia teruja dan gementar untuk mengetahui maklum balas daripada penonton kerana ia naskhah pertama dibintanginya sebagai pelakon.

“Saya masih baharu lagi jadi pelakon, belum sampai setahun pun. Sebelum ini, saya bermula dengan menyertai pertandingan Pencarian Dewi Remaja 2023 dan Alhamdulillah, dapat naib juara.

“Malah, saya pun tak sangka terus dapat peluang melakonkan watak utama dalam drama Dari Mata Turun Ke Hati apabila terpilih selepas mengikuti uji bakat lakonan yang diadakan pihak produksi,” katanya.

Menurut Arabella, sebagai bakat baharu memang diakuinya tidak mudah melakonkan watak kurang upaya penglihatan itu, namun bersyukur dia banyak dibantu oleh pengarah dan rakan pelakon yang lain.

Selain Arabella, drama ini juga dibintangi Mierul Aiman sebagai watak utama, termasuk dibantu barisan pelakon lain seperti Azhar Sulaiman, Azri Safix, Afiq Amidon, Darien, Qistina Khaled dan ramai lagi.

Menariknya lagi, drama 16 episod arahan Michael Ang ini menjadi drama pertama yang disediakan khidmat sokongan trek penerangan audio untuk lebih mudah diakses oleh golongan kurang upaya penglihatan dalam mendalami penceritaan disampaikan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *