Menyesuaikan diri dan membina semula kehidupan baharu menjadi fokus utama pelakon jelita, Mawar Rashid.
Disebabkan itu Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid memberitahu dia memerlukan masa kira-kira enam bulan untuk bangkit semula membina kehidupan baharunya sebagai ibu tunggal tiga anak selepas bercerai pada November tahun lalu.
Menurut Mawar lagi, rasa kecewa dihadapinya selepas melalui fasa kegagalan rumah tangga itu turut membuatkan dia hampir mahu ‘menyepi seketika’ daripada karier seni.
“Sebenarnya, saya ambil masa kira-kira enam bulan juga untuk bangkit semula. Tidak mudah nak melalui keadaan ini (bercerai), tetapi saya sedar kena tetap kuat semangat kerana anak-anak.
“Saya juga pernah terfikir nak hilangkan diri daripada radar industri hiburan dan media sosial seketika untuk mencari ketenangan diri sebab saya perlukan masa bersendirian.
“Banyak faktor mendorong saya memikirkannya (hilang diri seketika) ketika itu kerana apa yang dilalui adalah peribadi dan pada masa sama, saya harus juga menjaga kesihatan mental diri,” katanya kepada Harian Metro.
Mawar yang juga pelakon filem Jangan Pandang Belakang 2 berkata, dia bersyukur banyak menghabiskan masa bersama anak-anaknya dalam tempoh diperlukan itu sebelum kembali aktif bekerja.

“Saya adalah seorang pelakon dan memulakan karier dalam bidang seni. Jadi, saya perlu teruskan bekerja juga kerana ini (lakonan) adalah punca pendapatan saya. Alhamdulillah, rezeki berlakon masih ada.
“Ketika tawaran filem ini datang pun, saya masih dalam proses menyesuaikan diri sebagai ibu tunggal. Malah, saya perlu menghadiri kelas lakonan semula kerana sudah lama tidak berlakon,” katanya.
Mawar pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Raf Yaakob pada 9 November 2017 dan sah bercerai pada November tahun lalu selepas enam tahun hidup bersama.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 5, Raden Seri Rosabella Cinta, 3 dan Raden Seri Riyanna Sayang, 1 tahun yang kini dijaga bersama-sama.
Ditanya juga mengenai netizen yang mendoakan dan berharap agar dia ‘berjodoh semula’ dengan bekas suaminya itu, Mawar enggan memberi sebarang komen mengenainya kerana ia berkaitan dengan peribadi.
“Maaf, saya tak dapat nak komen mengenainya,” katanya tetap dengan pendirian enggan mengulas berkaitan bekas suaminya itu kerana lebih selesa memberi fokus untuk membesarkan anak-anak mereka demi masa depan yang baik.