Kuala Lumpur: “Saya masih pelakon dan minat nak berlakon. Cuma mungkin orang tak berapa nampak sebelum ini kerana tiada isu atau cerita ‘viral’ (tular),” pelakon, Reza Hasbi, 35, mengenai dakwaan dia sudah bersara dari bidang lakonan dan bergelar pencipta kandungan selepas memuat naik kandungan di TikTok, baru-baru ini.

Menerusi video berdurasi tiga minit 20 saat itu, kelihatan Reza atau nama sebenarnya Mohamad Ridzuan Hasbullah mengangkat buluh untuk dibawa keluar dari hutan.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna TikTok dengan sebahagiannya memuji Reza kerana tidak kisah melakukan kerja kampung di Kuala Kangsar, Perak untuk mencari rezeki walaupun bergelar selebriti.

Selain itu, ada juga netizen bertanya di ruangan komen sama ada Reza masih aktif berlakon kerana sudah lama tidak melihat wajahnya di televisyen.

Berkongsi kisah di sebalik video itu, Reza berkata, video itu dirakam untuk berkongsi proses mencari dan mengambil buluh untuk digunakan bagi tujuan dekorasi di restoran miliknya iaitu Lepak Kampung Talang.

“Saya rakam sendiri video itu kerana nak tunjuk proses angkat lebih 270 batang buluh bukannya senang.

“Saya buat seorang bukan kerana tak nak minta bantuan pekerja, tapi mereka tak sanggup kerana kerja itu babitkan mental dan fizikal. Bukan semua orang tahan terutama dengan miang buluh.

“Saya gagahkan diri juga kerana tak ada dana buat dekorasi restoran dengan gegelung besar yang menelan kos RM40,000. Jadi, saya guna buluh saja sebagai alternatif nak nampak cantik dan menarik,” katanya kepada Harian Metro.

Reza yang juga naib juara program realiti Pilih Kasih musim pertama itu mengakui sudah lali dengan pertanyaan di media sosial sama ada dia masih berlakon atau sudah bersara.

“Saya ada baca komen, kebanyakannya tanya saya ini pelakon kan? Saya Reza Hasbi kan? Ada kata dulu nampak saya berlakon.

“Soalan itu sering diulang setiap kali saya muat naik kandungan baru di TikTok, tapi ramai juga mendoakan. Saya terharu apabila ramai yang komen hingga tak terbalas. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka,” katanya.

Reza berkata, dia masih mendapat tawaran berlakon dan baru selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Sagon Tumbuk arahan Datuk Jurey Latiff Rosli.

Sebelum Aidilfitri lalu, dia juga terbabit dalam penggambaran telefilem Hantu Raya Telekung.

“Disebabkan saya mengusahakan restoran, jadi saya kena juga promosikannya dengan membuat ‘content’ (perkongsian video). Lagipun lokasi ini agak ‘viral’ dan ramai orang luar datang,” katanya.

Ditanya sama ada dia mempunyai perancangan menjadi pencipta kandungan, Reza tidak menolak kemungkinan itu kerana menyedari adanya peluang baru boleh diteroka di platform digital.

“Saya ada rapat dengan beberapa pencipta kandungan dan nak belajar daripada mereka serta lihat apa ‘content’ menarik yang orang suka.

“Kalau boleh, saya nak buat ‘content’ motivasi dalam lakonan kerana apa pun, tetap nak berkongsi mengenai bidang seni memandangkan jiwa ke arah itu,” katanya yang kini mempunyai lima cahaya mata.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *