Kuala Lumpur: Pelakon, Aeril Zafrel menafikan remaja lelaki yang memanjat rumahnya adalah individu yang disyaki meletakkan barang berupa objek sihir di kediamannya seperti diperkatakan sebelum ini.

Aeril berkata, remaja lelaki yang mendakwa dirinya sebagai peminat itu juga adalah anak istimewa.

“Semalam, saya ada ‘post’ (muat naik) di Instagram berkenaan remaja lelaki panjat rumah saya dan letak barang sihir.

“Petang itu juga, mak dia bawa anak istimewa itu datang berjumpa saya untuk meminta maaf. Berkenaan barang sihir budak ni cakap dia tidak letak dan dia mengaku sebagai peminat saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Aeril berkata, dia juga sudah memaafkan remaja itu.

“Semoga kejadian ini menjadi iktibar untuk saya, ibu bapa remaja ini dan semua. Katanya, budak ini peminat saya, itu yang sanggup panjat pagar sebab suka,” katanya.

Sementara itu, perkongsian Aeril di Instagram turut mendapat perhatian netizen yang mendoakan agar pasangan itu dan keluarga selamat daripada niat tidak baik.

Tidak kurang juga yang berkongsi pelbagai tips mengelak menjadi mangsa sihir.

“Asbab budak istimewa ni. Terlalu istimewa. Mereka dikirim untuk tunjuk sesuatu yang kita tak nampak. Alhamdulillah,” komen seorang pengikut.

“Ada hikmah budak istimewa ni panjat rumah. Sedih pada zaman moden pun wujud lagi manusia jenis dengki tidak senang tengok orang lebih maju,” komen seorang lagi pengikut.

Terdahulu, Aeril dan isterinya yang juga pelakon dan usahawan, Wawa Zainal mendedahkan kediaman mereka di Bandar Baru Bangi, Selangor berupa ‘barang’ sihir, baru-baru ini.

Perkara itu dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selepas seorang lelaki didakwa mempunyai niat tidak baik memanjat pagar kediaman selebriti berkenaan selain disyaki menghantar ‘barang’ sihir di rumah itu.

Wawa juga sudah membuat laporan polis selepas mereka menjumpai batang pinang dan kulit limau yang dibakar, dua minggu lalu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *