KUALA LUMPUR: Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (PEKAA) dengan kerjasama Musolla Aisya berjaya mengutip RM300,000 untuk Tabung Bersamamu Rafah 2024 yang mula dilancarkan, kelmarin.

Penaung Musolla Aisya, Datin Seri Umie Aida memaklumkan kutipan sumbangan diberikan rakan selebriti dan usahawan. Antaranya, Penaung PEKAA, Datuk Alha Alfa yang menyerahkan RM150,000.

Umie berkata, keseluruhan kutipan itu akan diberikan kepada mereka yang memerlukan di bumi Palestin memandangkan tabung itu diwujudkan khas bagi membantu meringankan bebanan rakyat di Rafah, Gaza.

“Alhamdulillah, Alha selalu menyokong Musolla Aisya, jadi kami berkolaborasi sejak tahun lalu. Kami pernah membuat program Palestin sehingga ke Sabah, seterusnya acara malam ini.

“Memang Alha menyokong 100 peratus untuk menjayakan acara ini. Objektif kami nak kumpul duit untuk membantu saudara Islam di Palestin.

“Alhamdulillah, semoga ia memberi inspirasi untuk orang ramai membuat perkara sama,” katanya yang ditemui pada majlis bacaan Yasin dan pelancaran Tabung Bersamamu Rafah 2024 di Glam Hall Damansara, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Umie berkata, majlis yang penuh bermakna itu menyasarkan dana RM500,000. Kutipan dana bermula Sabtu sehingga 8 Jun ini.

Umie dan Alha bersama selebriti, pempengaruh Malaysia, pengasas perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang turut serta memberi sokongan terhadap inisiatif mulia itu. - NSTP/Hazreen Mohamad
Umie dan Alha bersama selebriti, pempengaruh Malaysia, pengasas perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang turut serta memberi sokongan terhadap inisiatif mulia itu. – NSTP/Hazreen Mohamad

Kerjasama strategik itu turut disokong oleh rakan kolaborasi, Cinta Gaza Malaysia dan AICT Global dalam memastikan kutipan dana dapat mencapai matlamat.

Majlis itu juga diserikan dengan kehadiran 80 selebriti dan pempengaruh Malaysia, pengasas perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang turut serta memberi sokongan terhadap inisiatif mulia itu.

Antaranya, Datuk Ramli Sarip, Kaka Azraff, Zizi Kirana, Beto Kusyairy, Lufya dan ramai lagi.

Sementara itu, Alha berkata, pihaknya berharap agar masyarakat Malaysia dapat bersama menjayakan usaha itu.

“Setiap sumbangan diberikan akan membawa sinar harapan kepada saudara kita di Rafah yang sedang menghadapi pelbagai kesukaran.

“Kami mengalu-alukan kehadiran semua pihak untuk menyertai majlis ini dan menyumbang kepada Tabung Bersamamu Rafah.

“Marilah kita berganding bahu membantu mereka yang memerlukan dan mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang sesama manusia,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *