KUALA LUMPUR: Pelakon Shakilla Khoriri mengesahkan bernikah dengan jejaka dikenali sebagai Mohd Fariz pada majlis tertutup, hari ini.

Pengumuman itu dibuat Shakilla atau nama sebenar,’Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 34, melalui hantaran Instagram (IG).

Shakilla memberitahu, majlis pernikahan dengan ahli perniagaan itu diadakan secara tertutup atas permintaan keluarga.

“Alhamdulillah, selesai majlis hari ini dengan kehadiran keluarga dan teman rapat.

“Majlis yang kecil dan tertutup atas permintaan dan persetujuan kami sekeluarga untuk menyambut dan meraikan ahli baharu dalam keluarga kami.

“Terima kasih atas ucapan, doa dan kata-kata yang baik buat saya dan Ameena (anak). Kami setuju dan bersyukur dengan kehadiran Uncle Fariz dalam keluarga kecil kami,” luahnya.

Pernikah Shakilla dan Fariz dianjurkan secara tertutup atas permintaan keluarga. Foto IG Shakilla Khoriri

Pelakon drama Adam & Hawa itu berkata, tanggungjawabnya bertambah dengan kehadiran pasangan hidup.

Shakilla turut memohon doa agar perjalanan baharunya itu lebih baik.

“Doakan saya… Doakan perjalanan baharu ni lebih baik untuk kami bertiga. Doakan saya menjadi ummi dan isteri yang baik untuk mereka.

“Doakan saya kuat dan sihat untuk jaga mereka dan bahagiakan mereka selagi Allah pinjamkan hayat saya atas dunia ini,” katanya.

Melalui foto yang dikongsi pelakon itu, rata-rata rakan artis dan pengikut memuji kejelitaan Shakilla yang memilih persalinan klasik klasik rona putih pada majlis pernikahannya.

Sementara itu, menerusi perkongsian di IG Story, Shakilla memohon maaf kepada rakan media kerana tidak menjawab atau memberi maklum balas mengenai pernikahannya.

Shakilla mendakwa kurang selesa apabila majlisnya ‘diceroboh’ orang luar yang terlebih dahulu berkongsi mengenai berita pernikahannya tanpa izin.

Shakilla sebelum ini pernah berkahwin dengan Fizi Ali pada Februari 2018 dan dikurniakan anak perempuan, Ameena Sofia yang kini berusia lima tahun.

Mereka bagaimanapun bercerai pada Disember 2021.

Source :

By Admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *