Kuala Lumpur: “Tiada perselisihan faham antara kami,” kata penyanyi popular, Aina Abdul.
Aina berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin dia dan penyanyi Nadeera atau nama sebenar, Farah Nadeera Zaini, 31, berselisih faham dan bermasam muka seperti dakwaan segelintir pihak.
Menurut Aina atau nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani, 30, dia tetap mendoakan yang terbaik buat Nadeera walaupun mereka tidak selalu berjumpa ketika ini.
Katanya, semua orang sudah memiliki kehidupan masing-masing.
“Haluan kami sudah berbeza sekarang, dulu rapat sebab terikat dengan pertandingan,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, kata juara Anugerah Juara Lagu ke-37 ini, dia juga berkawan dengan semua orang.
“Saya macam biasa sahaja dan berkawan dengan semua orang. Tapi saya tidak rapat sangat dengan sesiapa pun,” katanya.
Terdahulu, Aina pernah mendedahkan dirinya sudah lama mengenali Nadeera yang juga juara program realiti Big Stage musim kelima itu.
Menurut Aina, mereka pernah duduk serumah dan mengakui sering mendengar Nadeera menyanyi di dapur.
Pada masa sama, mereka pernah memasuki pertandingan nyanyian yang sama iaitu Mentor Legend pada 2014.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila protege kepada penyanyi Dayang Nurfaizah iaitu Azmil dinobatkan sebagai juara ketika itu.
Sebelum ini, nama Nadeera juga pernah terpalit dengan kontroversi kerana dikaitkan dengan isu bermasam muka dengan penyanyi popular, Ernie Zakri.
Namun, Ernie turut menafikan dakwaan berkenaan.