KUALA LUMPUR: Hati penyanyi Hasif Upin sedikit terguris hingga mengalirkan air mata apabila dikecam vokal kurang memberangsangkan pada Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) Ke-38, Disember lalu.
Selepas memujuk hati, Hasif akhirnya sedar perasaan kecil hati tidak perlu ada kerana penonton tidak tahu keadaan masalah kesihatannya ketika itu.
Dedah Hasif, 31, beberapa hari sebelum menjelangnya SFMM 38, dia baru sahaja pulih daripada jangkitan COVID-19 sehingga mengganggu persembahan bersama Ziana Zain menerusi lagu Waktu.
“Saya kena COVID-19 ketika di Jakarta, Indonesia. Balik ke Malaysia saya mengalami kesukaran bernafas dan demam, tiga hari kemudian SFMM 38.
“Pernafasan masih belum pulih sepenuhnya, jadi saya sendiri tak nafikan vokal memang tak memuaskan.
“Saya tahu ramai kecam dan tak puas hati kerana menyifatkan saya merosakkan lagu, apatah lagi, berduet penyanyi legenda seperti Ziana.
“Sebelum ini, kalau sedih ada tempat mengadu. Namun, saya hilang tempat untuk luahkan segala-galanya sejak arwah emak meninggal dunia, dua tahun lalu.
“Sekarang hanya pengurus atau kakak sahaja jadi tempat meluahkan keresahan hati,” kata Hasif yang ditemui di Sesi Meet & Greet AJL Paling Ikonik di Pasar Seni, baru-baru ini.

Bagi menebus kekecewaan pada SFMM 38, Hasif kini giat berlatih bersama Cikgu Shafi sejak bulan lalu sebagai persediaan memantapkan vokal sebelum menjelangnya Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 pada 3 Mac depan.
Penyanyi kelahiran Johor itu turut mendedahkan berdebar menjelangnya AJL 38, bulan depan.
“Apa saya boleh dikongsikan persiapan AJL 38 macam hari raya, tapi tumpuan lebih banyak diberikan kepada vokal dan tenaga.
“Saya akan cuba buat yang terbaik kerana lagu ini dinyanyikan bersama Ziana. Ini juga AJL pertama saya, selebihnya terserahlah kepada takdir.
“Kalau boleh saya tak nak kecewakan peminat Ziana. Sebab itulah, saya berusaha buat yang terbaik pada malam final nanti,” katanya yang bertuah dapat bergandingan dengan Ziana.
Hasif atau nama sebenarnya, Hasif Sharuddin berkata, biarpun penyanyi senior, Ziana sangat merendah diri dan tidak lekang menyuntik semangat buatnya.
“Semestinya saya sangat berbesar hati dapat berpadu suara dengan Ziana. Dia tak lokek berkongsi tip dan nasihatkan saya agar banyak bersabar serta berusaha baiki kekurangan.
“Ziana selalu mengingatkan saya jangan tinggalkan solat supaya lebih tenang ketika buat persembahan,” katanya.
Kredit: Berita Harian