LOS ANGELES: Penyanyi terkenal, Taylor Swift mencipta sejarah dengan melakar satu lagi kejayaan peribadi dalam industri muzik apabila album Midnights dinobatkan sebagai pemenang kategori Album Terbaik, Anugerah Grammy Ke-66, hari ini.

Penyanyi berusia 34 tahun itu menewaskan penyanyi hebat lain seperti Jon Batiste yang mempertaruhkan album World Music Radio, Boygenius (The Record) dan Janelle Monae (The Age of Pleasure).

Turut bersaing, Lana Del Rey dengan album Did You Know That There’s a Tunnel Under Ocean Blvd, Miley Cyrus (Endless Summer Vacation), Olivia Rodrigo (Guts) dan SZA (SOS).

Swift yang hadir menerima trofi ke-13 yang dimenangi pada acara yang berlangsung di Crypto.com Arena, Los Angeles, California, Amerika Syarikat itu turut berkongsi bakal melancarkan album baharu pada April depan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat. Saya ingin memberitahu satu rahsia yang disimpan hampir dua tahun lalu iaitu saya bakal lancarkan album baharu pada 19 April depan.

“Album ini diberi judul Tortured Poets Department. Saya akan muat naik kulit album dalam media sosial sebentar lagi. Terima kasih, saya sayang anda,” katanya.

Sebelum ini, pada Anugerah Grammy Ke-58, trofi berkenaan pernah diraih Swift menerusi album 1989.

Menerusi album Midnights, Swift juga memenangi kategori Album Vokal Pop Terbaik. Malah, lagu Anti-Hero dendangannya turut dicalonkan bagi kategori Lagu Terbaik dan Rakaman Terbaik.

Swift juga menerima pencalonan bagi kategori Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik dan Persembahan Pop Solo Terbaik.

Pada Anugerah Grammy Ke-65, tahun lalu, kategori Album Terbaik dimenangi bekas anggota One Direction, Harry Styles menerusi album Harry’s House. – AGENSI

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *