WINGS. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Kumpulan rock legenda, Wings turut terperangkap dalam kesesakan selama beberapa jam akibat kemalangan ngeri membabitkan tiga lori dan empat kereta di KM 288.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), di laluan antara Gopeng ke Simpang Pulai, dekat Kampung Tersusun Tekah pada pagi semalam.

Awie dihubungi berkata, mereka yang sepatutnya bertemu peminat untuk promosi Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter di Queensbay Mall Pulau Pinang, terpaksa membatalkan program terbabit. 

“Kami bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 12 tengahari dengan harapan boleh sampai dalam tempoh empat jam. Wings sepatutnya kena sampai jam 5.30 petang dan paling lewat jam 6 petang untuk program bertemu peminat itu.

“Bagaimanapun, tak sangka perjalanan kami jadi lapan jam. Kami terpaksa kena berhenti semasa perjalanan di lebuh raya disebabkan kemalangan yang berlaku itu. 

“Namun, kami rasa lega apabila dah keluar dari kawasan itu, tapi ada satu lagi kemalangan lain dan terpaksa berhenti lagi kira-kira 40 minit. Memang banyak berhenti, kemudian hujan pula selebat-lebatnya,” katanya. 

Menurut Awie, beberapa halangan yang berlaku itu akhirnya menyebabkan mereka terpaksa mengambil keputusan terus ke lokasi kedua bagi bertemu peminat di Mydin Mall Bukit Mertajam. 

“Kami sempat sampai sekitar jam 8 malam lebih dan Alhamdulillah, dapat buat sesi bertemu peminat di situ (Mydin Mall) saja. Namun, saya terharu apabila ada peminat dari lokasi Queensbay Mall sanggup datang ke situ juga. 

“Mereka tunggu agak lama dan apabila kami tak sampai, mereka terus bergegas ke Mydin Mall kerana semasa terperangkap di lebuh raya, saya buat video secara langsung di Instagram beritahu situasi yang berlaku. 

“Hari ini kami berada di AEON Mall Taiping pula sebelum balik ke Kuala Lumpur,” katanya.

Wings akan menjayakan Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter yang bakal berlangsung di SPICE Arena Penang pada 24 Februari nanti, jam 9 malam. 

kreadit : hmetro.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *