Chew Kin Wah akan muncul dengan filem Rain Town di pawagam.
Kuala Lumpur : “Ada yang membuat andaian mendakwa saya sibuk membina nama di Indonesia dan tiada di Malaysia apabila nak menawarkan saya berlakon.”
Demikian kata pelakon Chew Kin Wah yang tampil menjelaskan dia masih menetap di Kuala Lumpur walaupun namanya semakin dikenali dalam industri hiburan Indonesia.
Chew, 59, berkata, dia mengaku sudah beberapa kali terlepas peluang berlakon dengan produksi tempatan kerana terdapat kru yang membuat andaian dia sudah berhijrah ke negara sebarang.
“Saya masih menetap di Kuala Lumpur dan pegang pasport Malaysia. Rasanya tak perlu nak buat pengumuman di media sosial untuk maklumkan di mana saya berada.
“Saya jadi hairan apabila ada pengarah yang nak menawarkan saya berlakon, tapi dia beritahu nama saya terpaksa ditukar kepada pelakon lain kerana dikatakan berada di Indonesia, sedangkan saya ada saja di Malaysia dan tidak berbuat apa-apa.
“Tak elok buat andaian sendiri. Kalau betul pihak produksi nak saya berlakon, sila hubungi saya terlebih dulu untuk pengesahan.
“Produksi Indonesia pun bukan sentiasa beri tawaran sebab banyak dokumen perlu diuruskan. Jika saya ke sana tanpa permit bekerja, saya boleh ditahan pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, Chew ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya berjudul Rain Town yang diadakan di GSC Starling Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.
Sementara itu, Chew berkata, di usianya yang ke-59 tahun sekarang, dia amat mementingkan soal had bekerja dan kualiti lakonan.
“Sebagai pelakon saya perlu tetapkan tempoh masa bekerja tidak lebih 12 jam sehari supaya saya tidak jatuh sakit di lokasi pengganbaran.
“Jika apa-apa berlaku, bimbang akan menyusahkan produksi.
“Soal harga pula saya akui ada peningkatan sebab industri kita bukan ada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau insurans,” katanya.
Menerusi filem Rain Town, Chew memegang watak sebagai Choo iaitu seorang bapa yang terlalu mengawal kehidupan keluarga termasuk kerjaya tiga orang anaknya.
Konflik dalam keluarga Choo berlaku apabila timbul masalah disebabkan sikap keras kepala sehingga kemahuannya itu memberi kesan kepada anak-anak.
Selain Chew, filem arahan Tunku Mona Riza itu turut dibintangi oleh Susan Laskester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.
Filem terbabit bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 Februari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina.
kreadit : hmetro.com