Kuala Lumpur: Pemain gitar kumpulan Hujan, AG Coco kini dirawat di hospital akibat masalah buah pinggang tahap tiga dan batu karang.
Isterinya, Zuliana Eusoff berkata, AG juga akan menjalani pembedahan untuk menyahsekat batu karang yang menghalang aliran air kencing dalam buah pinggangnya.
“Suami saya akan menjalani prosedur minor Ureteric Stent Insertion (memasukkan alat melalui saluran kecil hingga ke pundi kencing) akibat batu karang. Dia juga pada mulanya dikesan mengalami masalah buah pinggang tahap tiga,” tulisnya di Instagram.
Dalam masa sama, Zuliana juga terkilan kerana tidak dapat menemani suaminya di sini kerana berada di London bersama anak lelakinya, Hidayat Hezry.
“Sayu hati ini kerana saya dan anak berada beribu-ribu batu jauh semasa dia sangat memerlukan saya sekarang. Namun, kami percaya bahawa perancangan Allah adalah yang terbaik. Saya menghargai sekiranya anda mendoakan kestabilan dan pemulihan. Semoga Allah memberkati kalian dengan doa yang baik-baik. Terima kasih,” tulisnya.
Kredit: Harian Metro