Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki menyangkal dakwaan pemilihannya sebagai Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dibuat berdasarkan lantikan politik.

Afdlin yang baharu dipilih bagi penggal 2024 hingga 2025 berkata, visi dan misi perlantikannya adalah untuk membantu ahli persatuan termasuk pengarah yang memerlukan bantuan atau sokongan daripada FDAM tanpa mengira fahaman politik.

“Kita tetap akan sokong jika perkara itu adalah baik dan betul untuk FDAM. Kita tidak ‘main’ politik dan tidak peduli daripada parti apa sekalipun janji individu itu adalah seorang pengarah yang perlu bantuan, penerangan atau sokongan, FDAM adalah badan yang akan menyokong tanpa mengira parti,” katanya.

Tambah Afdlin, jawatan itu diamanahkan selepas mengambil kira undian majoriti ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Dwitahunan FDAM Ke-25, baru-baru ini, selain menegaskan sebarang unsur berkaitan politik adalah dilarang semasa mesyuarat. 

“Antara perkara paling utama dalam mesyuarat agung baru-baru ini adalah kita tidak boleh menggunakan politik sebagai asas. Dalam industri seni juga perkara ini kita tidak boleh menggunakan politik sebagai dasar atau asas ketika bekerja.

“Kemungkinan ahli memilih kerana dia fikir saya dekat dengan kerajaan. Kalau itu dalam hati mereka, maknanya itu bukan berdasarkan parti, tapi hubungan saya dengan kerajaan.

“Pada saya, itu atas pilihan mereka. Tapi apa yang kita buat adalah kepentingan pengarah-pengarah di dalam FDAM sendiri, itu yang paling penting,” kata Afdlin.

Sebelum ini, sebaik sahaja lantikan Afdlin sebagai Pengerusi FDAM mendapat liputan media, timbul dakwaan daripada segelintir pihak mengatakan pemilihannya dibuat atas lantikan politik.

Spekulasi timbul kerana status Afdlin sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini didakwa mempunyai hubungan dengan lantikannya sebagai Pengerusi FDAM.

Jawatan Pengerusi FDAM tidak diisi selepas pemergian pengarah dan pelakon, Allahyarham Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London, 74, yang meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi penyakit di Hospital Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu.

Selain Afdlin, sembilan jawatan lain yang diumumkan adalah Timbalan Pengerusi yang dipegang Khir; Setiausaha (Mohamad Zaini Hassan); Timbalan Setiausaha (Don Hoe); Bendahari (Loganathan Kanabathy); Timbalan Bendahari (Terry Chan).

Empat ahli jawatankuasa (AJK) adalah Mohamed Faizal Syed Ariff, Elrafaei Sapi, Faisal Chal Ahmad dan Muhammad Aiman Mohammad Zaki.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *