KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Ryan Bakery, 28, menyifatkan membolosi Top 5 menerusi kategori Lawak Viral Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 sebagai pembakar semangat untuk terus menghasilkan kandungan menghiburkan dan bermanfaat buat orang ramai.
Malah, menjadi kepuasan buat Ryan atau nama sebenarnya, Muhammad Ryan Fahmi Bakery apabila jenaka dihasilkan menjadi dan tular.
“Tidak dinafikan, saya terharu apabila kandungan dihasilkan boleh menggembirakan dan menghiburkan hati orang.
“Saya tidak mahu hasilkan kandungan syok sendiri, ia lebih baik apabila kena dengan selera orang.
“Insya-Allah, saya akan terus menghasilkan kandungan dan memang banyak perancangan ke arah idea yang memberi manfaat.
“Sebab kandungan saya berkait dengan aktiviti harian orang ramai.
“Paling penting, kandungan berunsur positif dan tidak mahu negatif yang akhirnya memburukkan diri sendiri,” katanya kepada BH Online.

Mengulas sama ada menyimpan harapan dicalonkan bagi kategori penyanyi dan pelakon memandangkan mula berjinak dalam dua cabang seni itu, Ryan berkata, dia hanya mahu berseronok mencuba pelbagai bidang dan tidak merancang menjadikannya sebagai kerjaya yang serius.
“Menyanyi dan berlakon dilakukan secara suka-suka. Kalau nak kata tercalon dalam kategori penyanyi dan pelakon, macam jauh lagi.
“Jadi, saya ikut sahaja apa adanya, jika tercalon bersyukur, jika tidak saya terima dengan lapang hati,” katanya.
Sejak aktif dalam media sosial 2020, Ryan dikatakan pencipta kandungan kreatif dalam menghasilkan video lucu yang membawa khalayak mengimbau kenangan zaman persekolahan dan kanak-kanak.
Video dihasilkan selepas dibuang kerja dan cuba mencari jalan untuk menjana pendapatan menerusi ciptaan kandungan dalam laman sosial.
Dari situ juga minatnya mula bercambah dalam bidang lakonan.
Pernah dinobatkan pemenang trofi Pencipta Kandungan Digital Tergempak di Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2022, Ryan bersaing dengan Airiena Yahaya, Aldariya Dareesa, Satthiya Kandi dan Syahmi Sazli, Hasif dan Yoey Parey dalam kategori Lawak Viral Popular, ABPBH 35.
Tambah Ryan, dia hampir tidak perasan namanya tersenarai dalam kelompok Top 5 bagi kategori Lawak Viral Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35.
Bagaimanapun, Ryan berkata, meskipun disenaraikan dalam kategori Ekstra!, dia tetap menyifatkan pencalonan itu sebagai pencapaian berharga buat bakat baharu sepertinya.
“Alhamdulillah, saya gembira dapat dicalonkan dalam ABPBH 35 buat kali pertama. Jujurnya, pada awal diumumkan bolos ke Top 5, saya tak tahu langsung, sehingga diberitahu pihak pengurusan, Indigital Music.
“Namun, menang atau kalah, terserahlah. Saya tidak meletakkan harapan tinggi sebab semua yang dicalonkan hebat belaka.
“Kalau menang adalah bonus, namun jika sebaliknya saya boleh cuba lagi,” katanya.
Kredit: Berita Harian