NORYN rakam single terbaharu, Kau dengan gubahan berbeza sebelum pilih genre disko funk.
SELEPAS sekian lama tidak muncul dengan single baharu, Noryn kini tampil dengan lagu baharu berjudul Kau hasil ciptaannya dengan Indra.
Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abd Aziz, 47, berkata, dia mempunyai alasan tersendiri mengambil masa lama menghasilkan lagu baharu.
“Saya terlalu berhati-hati dalam menghasilkan sesebuah lagu. Boleh jadi saya adalah seorang yang ‘overthinking’. Cuma saya fikir ia tidak penting lagi. Oleh kerana perlu memandang kepada bajet untuk melahirkan lagu, saya jadi lebih teliti.
“Saya selalu mementingkan mengenai kualiti sesebuah lagu. Contohnya lagu Kau ini saya dah rakam dua kali dengan ‘feel’ berlainan. Satu gubahan muzik R&B jazz dan disko funk. Apabila diamati, R&B jazz agak berat untuk pasaran semasa.
“Namun, saya berpuas hati dengan ‘feel’ akhir lagu ini dengan memilih disko funk yang lebih segar dan lebih mudah diterima peminat dan pencinta muzik tanah air. Bagi saya lagu Kau dengan rentak disko funk ini lebih ‘fun’ dan segar,” katanya.
Berkongsi mengenai single terbaharu itu, Noryn berkata, ia mengisahkan mengenai cinta dan kebahagiaan.
“Lagu ini sangat sesuai untuk ‘wedding fast song’. Ia juga saya rakam pada akhir tahun lalu. Saya berharap lagu ini diterima baik peminat. Selain itu, mereka dapat mengenali saya melalui lagu ini. Paling penting sebenarnya saya mahu pendengar ‘enjoy’ menyanyikan lagu ini,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sejauh mana dia menerima elemen gimik atau tular dapat melariskan atau mempopularkan lagi sesebuah karya, Noryn tetap berpegang pada prinsip kualiti adalah segalanya.
“Ia bergantung kepada jenis gimik atau viral itu. Saya lebih mementingkan kepada sesuatu yang bertahan lebih lama. Macam saya secara peribadi, ‘slow and steady’. Apa pun kualiti adalah lebih diutamakan,” katanya yang juga juara program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) pada 2018.
Dalam GV5, Noryn mempamerkan persembahan hebat seiring kematangan usia kerjayanya hingga meletakkan dia dalam kelas tersendiri.
Dalam perkembangan lain, Noryn berkata, dia ingin memberi fokus sepenuhnya untuk mempromosikan lagu baharunya itu.
“Selain itu, saya juga dalam proses mencari bakat baharu untuk berduet dalam single seterusnya,” katanya.
kreadit : hmetro.com