KUALA LUMPUR: Perang poster digital di kalangan individu dan kelab peminat menerusi media sosial semakin rancak, sebaik sahaja undian peringkat awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 dibuka sejak 12 Mei lalu.

Platform digital jadi medan gerak kempen meraih undi, perang poster mula bertebaran dalam media sosial apabila kelab peminat melakukan gerak gempur bagi memastikan artis kesayangan membolosi ke peringkat Top

Sebahagian besar peminat menghasilkan pelbagai poster kreatif bagi menarik perhatian ramai.

Bukan sekadar memaparkan foto selebriti kesayangan, malah kreativiti peminat diserlahkan dengan perkongsian video atau foto diiringi lagu latar.

Tempoh berkempen juga dimeriahkan dengan tanda pagar #ABPBH35 dan #EkspresiLegasiSeni yang diangkat sebagai tema edisi ke-35 anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini.

BH mendapatkan reaksi artis dan beberapa kelab peminat yang tidak putus berkempen bagi memastikan artis pujaan mara ke peringkat Top 5, sekali gus bakal melakar kejayaan pada malam kemuncak ABPBH 35 yang bakal berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 21 Julai depan.

Pelakon popular, Meerqeen berkata, strategi terbaik adalah memberikan sepenuh komitmen dalam pekerjaan dan penghasilan karya.

“Sebuah karya yang baik akan sampai secara terus ke hati semua lapisan masyarakat dan diterjemahkan kepada sokongan dan undian.

“Saya meletakkan segala kepercayaan kepada peminat untuk membawa saya ke peringkat Top 5. Saya turut berbesar hati dengan pencalonan ini dan menghargai sokongan serta kerja keras peminat yang bertungkus-lumus mengundi.

“Saya berusaha memberikan yang terbaik dalam bidang seni, peminat pula mengundi dan selebihnya, kita berserah sahaja,” katanya kepada BH Online.

Anna dan Meerqeen menjadi gandingan serasi menerusi drama Melur Untuk Firdaus hingga mencipta fenomena ke Indonesia.
Anna dan Meerqeen menjadi gandingan serasi menerusi drama Melur Untuk Firdaus hingga mencipta fenomena ke Indonesia.

Membolosi pencalonan bagi kategori Aktor TV Popular, Couple Drama Popular dan Drama Popular, Meerqeen berkata, dia enggan berada dalam zon selesa kerana mahu terus berusaha memperbaiki mutu kerja supaya pengundi dapat menilai kualiti karya lakonannya.

“Kepercayaan dan sokongan peminat adalah aspek paling penting bagi setiap artis.

“Saya hanya mahu memberikan yang terbaik dalam setiap karya agar terus diterima oleh peminat,” katanya.

Bagi pelakon Anna Jobling, dia tidak mempunyai sebarang strategi khusus memandangkan ini adalah kali pertama membolosi pencalonan ABPBH 35.

“Saya bertuah kerana mempunyai penyokong yang amat komited untuk mengundi.

“Apa yang saya lakukan adalah sentiasa memberikan semangat dan cuba untuk terbabit secara langsung dalam proses pengundian.

“Bagi saya, tiada istilah kedudukan selesa kerana penyokong calon lain tidak kurang hebatnya.

“Saya dan penyokong akan memberikan usaha yang terbaik,” katanya yang menembusi pencalonan bagi empat kategori, BBNU Wanita Popular, Aktor TV Wanita Popular, Gandingan Serasi Drama Popular dan Drama Popular.

Sebahagian besar peminat menghasilkan pelbagai poster kreatif bagi menarik perhatian ramai.
Sebahagian besar peminat menghasilkan pelbagai poster kreatif bagi menarik perhatian ramai.

Anna berkata, setiap artis mempunyai cara tersendiri untuk memastikan sokongan dapat dikekalkan.

“Saya dan pihak pengurusan sentiasa mencuba untuk bersemuka secara langsung dengan peminat agar berada lebih dekat dengan mereka.

“Baru-baru ini, saya melangsungkan majlis berbuka puasa dan rumah terbuka bersama peminat di Malaysia dan Indonesia.

“Walaupun majlis tidak dapat diadakan secara kerap, namun saya berharap dapat menunjukkan penghargaan saya terhadap peminat,” katanya.

Sementara itu, pengurus kelab peminat Khai Bahar Empire (KBE), Azizah Mohd Tahir berkata, strategi kali ini adalah sama seperti tahun sebelumnya bagi memastikan Khai Bahar dapat mara ke peringkat Top 5.

“Kami tiada strategi berbeza atau unik seperti peminat lain, tetapi kami sedang berusaha dengan lebih lagi daripada tahun sebelum ini.

“KBE juga mempunyai pasukan yang fokuskan kepada undian harian supaya dapat memastikan Khai berada dalam kedudukan selesa.

“Selain mengundi secara harian, ahli kelab juga disarankan berkempen dengan lebih konsisten,” katanya.

KBE mempunyai pasukan fokus kepada undian harian supaya dapat memastikan Khai Bahar berada dalam kedudukan selesa.
KBE mempunyai pasukan fokus kepada undian harian supaya dapat memastikan Khai Bahar berada dalam kedudukan selesa.

Khai menembusi pencalonan bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Pada malam kemuncak ABPBH 35, sebanyak 12 kategori utama dipertandingkan iaitu BBNU Lelaki Popular, BBNU Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

Turut dipertandingkan, Aktor Filem Popular, Aktres Filem Popular, Aktor TV Popular, Aktres TV Popular, Penyampai Radio Popular, Pengacara Televisyen (TV) Popular dan Artis Komedi Popular.

Undian tertinggi daripada mana-mana kategori tunggal disaingi artis pada peringkat Top 5 akan menjadi penentu kepada pemenang trofi utama, iaitu Bintang Paling Popular ABPBH 35.

Turut dipertandingkan pada ABPBH 35 adalah tujuh kategori Ekstra! iaitu Couple Drama Popular, Couple Filem Popular, Drama Popular, Lagu Paling Boom, Content Creator Popular, TikTokers Popular dan Video Viral Popular.

Tepat jam 11.59 malam esok, undian peringkat Top 20 bagi 12 kategori utama dan tujuh kategori Ekstra!, ABPBH 35, bakal ditutup, menandakan berakhirnya saingan awal acara anugerah berprestij ini.

Sehubungan itu, peminat mempunyai peluang terakhir sepanjang hari ini sehingga tengah malam esok, untuk mengundi artis pilihan bagi memastikan mereka bolos pusingan akhir Top 5 edisi ke-35 ABPBH.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *