KUALA LUMPUR: Tuah lagu Buih Jadi Permaidani membawa penyanyi yang juga YouTuber popular Indonesia, Nabila Maharani, 23, terbang tinggi dalam sekelip mata.

Lagu asal berjudul Mengintai Dari Tirai Kamar nyanyian kumpulan Exist diubah tajuk Buih Jadi Permaidani itu mencipta magis dan meledak di Indonesia, sekali gus mengubah putaran hidup Nabila daripada pemuzik jalanan kepada penyanyi sepenuh masa.

Menerusi YouTube Nabila Suaka, video lagu Buih Jadi Permaidani dibawakan Nabila feat Zinidin Zidan bersama petikan gitar, Tri Suaka mencecah 135 juta sejak dimuat naik, tahun lalu.

Nyata, percaturan Nabila menyanyikan lagu saduran yang dimuat naik dalam saluran YouTube Nabila Suaka sejak penularan pandemik COVID-19, dua tahun lalu memberikan ‘impak maksima’ buatnya.

Tidak menafikan lagu saduran melonjakkan nama dan populariti, Nabila berkata, dia bersama rakan penyanyi jalanan, Zinidin dan Tri Suaka tidak memilih hanya lagu popular, sebaliknya selesa menghiburkan peminat dengan semua genre lagu termasuk karya popular dari Malaysia.

“Lagu saduran pertama dinyanyikan, Tanya Hati nyanyian asal kumpulan Pasto, namun lagu Buih Jadi Permaidani menjadi kemuncak kejayaan.

“Kami meraih kejayaan luar biasa menerusi lagu Buih Jadi Permaidani. Daripada penyanyi jalanan di Yogyakarta, kini kehidupan kami berubah 360 darjah.

“Namun begitu, saya tidak sesekali meninggalkan kehidupan sebagai penyanyi jalanan. Saya, Zinidin dan Tri Suaka masih bergelar penyanyi jalanan biarpun sudah menembusi pasaran komersil.

“Saya tak kisah tetap busking lagi, biarpun makin popular. Bagaimanapun, ke mana sahaja melangkah wajah makin dikenali. Kehidupan dua tahun lalu tidak lagi sama seperti hari ini,” katanya kepada BH Online.

Nabila tidak malu, masih meneruskan aktiviti penyanyi jalanan biarpun nama dan wajahnya kian dikenali. - Foto IG Nabila Maharani
Nabila tidak malu, masih meneruskan aktiviti penyanyi jalanan biarpun nama dan wajahnya kian dikenali. – Foto IG Nabila Maharani

Nabila ditemui selepas menjayakan Konsert Hype Night In Kuala Lumpur di Kenanga Starxpo, hujung minggu lalu.

Selain Nabila, konsert itu turut menampilkan rakan penyanyi jalanannya, Zinidin dan Tri Suaka, selain Angga Candra, Valdy Nyonk, Ezad Lazim, Amir Masdi hingga Najwa Latiff.

Biarpun kini kehidupannya tiada privasi lagi, penuntut tahun akhir jurusan pengurusan perniagaan di Universiti Muhammadiyyah di Yogyakarta itu berkata, dia bersyukur dikenali ramai dalam sekelip mata.

“Dahulu, tiada mengenali Nabila Maharani. Kini, semua perkara ada batasan dan perlu dijaga. Daripada tingkah laku, kata-kata dan bicara dalam laman sosial.

“Namun, kehidupan peribadi tetap ada privasi. Tidak semua perkara boleh dikongsi untuk tatapan umum, melainkan karya yang dihasilkan.

“Jujurnya, tiada apa yang dirindui dalam kehidupan dahulu. Menjadi artis dan orang biasa memang jauh berbeza.

“Banyak juga insiden yang berlaku pada saya perlu dijadikan pengajaran. Namun, saya berpegang teguh janji dengan ibu bapa. Mereka selalu berpesan agar saya menjaga perilaku dan tidak menyinggung perasaan sesiapa dalam laman sosial termasuk soal berpakaian.

“Sebagaimana peminat mengenali saya dahulu, begitulah juga saya masih orang sama yang ringkas dan tiada gimik mengarut,” katanya.

Penyanyi kelahiran Yogyakarta yang aktif memuat naik lagu saduran di saluran YouTube sejak tiga tahun lalu itu berkata, dia tetap menjaga batasan biarpun dikelilingi penyanyi lelaki seperti Zinidin dan Tri Suaka, setiap masa.

“Jujurnya, saya sering dikelilingi penyanyi lelaki ketika mengadakan persembahan. Tak kira di mana sahaja, kami selalunya bertiga jadi sudah tentu perlu menjaga batasan.

“Setakat ini, Zinidin dan Tri Suaka menjadi ‘penjaga’ saya, belum pernah ada insiden disentuh peminat lelaki. Namun, saya menerima banyak mesej langsung lamaran lelaki dalam laman sosial, itu sahaja,” katanya.

Nabila terpalit gosip kisah cinta bersama rakan penyanyi jalanan, Tri Suaka yang kini hangat diperkatakan.
Nabila terpalit gosip kisah cinta bersama rakan penyanyi jalanan, Tri Suaka yang kini hangat diperkatakan.

Namun, di sebalik nama kian mendaki puncak populariti, Nabila atau nama sebenarnya, Nabila Maharani Widyadewi tidak terlepas terpalit gosip kisah cinta bersama rakan penyanyi jalanan, Tri Suaka yang kian hangat bertebaran.

Keakrabannya dengan Tri Suaka yang juga insan bertanggungjawab melonjakkan nama Nabila dapat dihidu peminat.

Kebanyakan peminat menebak Nabila dan Tri Suaka kini sedang hangat menjalin hubungan cinta sejak bergabung menjadi pasangan duet jalanan.

Gosip dakwaan percintaan kian bertiup kencang apabila hubungan mendapat restu ibu Tri Suaka yang menganggap Nabila sesuai dijadikan menantu pilihan.

Penyanyi yang kini popular menerusi lagu Bila Nanti itu berkata, gosip juga antara perkara yang perlu dijaga apabila mula dikenali ramai.

“Ini adalah perkara yang saya dan Tri Suaka jaga, tidak terlalu berkongsi dengan khalayak. Fokus kami adalah kerjaya nyanyian yang baru dibina.

“Benar atau tidak bercinta, saya tidak bisa menjawabnya. Namun, apa yang boleh ditegaskan, saya dan Tri Suaka berkawan baik dan banyak berkongsi rahsia suka dan duka.

“Sejauh mana dilihat akrab dalam media media, itulah kami. Jika ditanya adakah ‘teman tapi mesra’, adalah. Jauh di sudut hati, saya senang bersahabat baik, saling menjaga dan menyokong antara satu sama lain,” katanya kini yang memiliki 13 single dan lebih selesa menyanyikan karya ciptaan sendiri bersama Tri Suaka dan Zinidin.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *