Kuala Lumpur: Pelakon, Han Zalini sudah ‘move on’ dan melupakan isu kontroversi yang pernah tercetus membabitkan dirinya dengan penerbit filem Air Force The Movie : Selagi Bernyawa pada Ogos lalu.
Dalam kejadian yang berlaku, Han, 31, yang membawakan watak jahat mendakwa kecewa dipinggirkan daripada sambutan pelancaran filem berkenaan pada 22 Ogos lalu.
“Tak perlulah saya ulas lagi kerana ia dah selesai cara profesional dengan pengarah dan pasukan produksi. Mereka maklumkan ia berlaku akibat terlepas pandang
“Kami sudah lupakan isu ini dan lebih pandang ke depan. Perkara yang sudah berlalu sepatutnya kita lupakan,” katanya kepada Harian Metro.
Han berkata, dia kini bersyukur kerana semakin banyak tawaran berlakon filem diterima antaranya untuk sebuah filem genre biopik.
“Ia kisah benar berkaitan hero yang tak didendang. Sekarang ia masih dalam peringkat pra-produksi. Siang saya buat latihan untuk filem, manakala malam pula buat latihan untuk teater.
“Penggambaran akan makan masa dua bulan di luar Kuala Lumpur. Ia projek besar dan pelakonnya semua memang dikenali. Lakonan mereka semua dikategorikan gred A.
“Untuk tahun depan pun saya dah ada projek filem. Alhamdulillah, selepas Air Force The Movie, dah ada banyak tawaran untuk saya. Tapi tawaran untuk filem biopik datang sebelum itu lagi,” katanya.
Han terlebih dahulu menceburi bidang teater pada 2008 sebelum melangkah masuk dalam lakonan filem. Dia menjalani latihan praktikal di Rumah Anak Teater (RAT) dan seterusnya terbabit secara langsung dengan mereka.
Terbaru, Han akan terbabit dengan pementasan teater Asrama-Ra terbitan Revolution Stage yang akan berlangsung di PJ Live Artis pada 26 hingga 30 Oktober ini.
Turut membintangi teater arahan Khairunazwan Rodzy ini ialah Fadhli Masoot, Fimie Don, Ikhlas Jalil, Idham Maulana, Anwar Rusdini, Nesa Idrus, Sri Idrina dan dibantu pelakon terkenal tanah air, Nam Ron.
Kredit: Harian Metro