Kuala Lumpur: Pelakon Luqman Hafidz, 31, belum bersedia menjawab spekulasi berkaitan rumah tangganya dengan isteri, Nurul Atiqah Mad Apandi, 31, yang didakwa sudah berakhir dan kini membawa haluan masing-masing.
Luqman atau nama sebenarnya, Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi, berkata, dia seorang yang tidak berkongsi mengenai peribadi selama ini, namun tetap menjadi perhatian juga.
“Apa yang boleh dikata, saya belum bersedia lagi berkongsi apa-apa berkaitan peribadi (rumah tangga). Selama ini pun, saya memang tidak pernah berkongsi soal peribadi berbanding karier.
“Bagi saya, setiap orang ada pendapat masing-masing untuk pandang setiap masalah itu macam mana. Sebabnya, kita semua tidak terlepas daripada mengalami masalah,” katanya ditemui selepas sidang media mini siri Astana arahan pertamanya.
Luqman berkata, dia berharap pendekatan yang diambilnya untuk tidak berkongsi apa-apa mengenai perihal peribadi ketika ini diterima baik semua orang kerana tidak mudah untuk diceritakan.
“Macam saya kata, daripada dulu lagi memang saya tidak pernah berkongsi kisah peribadi kepada umum. Saya faham sebagai anak seni, orang memang nak tahu cerita peribadi kita.”Jadi, kalau orang masih nak buat spekulasi, terserah.Saya pun mahukan ketenangan. Perkara itu (rumah tangga) saya akan cakap juga, cuma tunggu masa yang sesuai,” katanya.
Pelakon filem Ola Bola ini berkata, dia juga tidak boleh menutup mulut orang yang membuat spekulasi itu. Katanya, apa yang pasti kini fokusnya lebih ditumpukan kepada karier dan kerja-kerja seni.
Terdahulu, Luqman bertemu jodoh dengan Nurul Atiqah pada 20 Mac 2020 selepas empat tahun bercinta.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang berusia setahun lapan bulan.
Mengulas pula mengenai mini siri, Astana itu, Luqman berkata dia amat bersyukur apabila mendapat peluang mengarahkannya, meskipun dengan bajet yang sederhana.
“Saya sudah membuat yang terbaik untuk enam episod pendek dalam mini siri Astana ini. Diharap penonton terhibur apabila episod pertama akam disiar di YouTube pada 1 November ini,” katanya.
Selain Luqman sebagai watak utama, mini siri Astana turut dibintangi pelakon lain seperti Cik Manggis, Nas T, Beto Kusyairy, Taufiq Hanafi dan ramai lagi.
Kredit: Harian Metro