KUALA LUMPUR: Sudah beberapa kali virus cinta menyerang penyanyi, pelakon dan pengacara Azira Shafinaz, 31, namun hingga saat ini tiada satu pun menjangkitinya.
Serancak kerjaya seni semakin berkembang, begitu juga hangatnya kisah cinta Azira dengan beberapa lelaki diperkatakan sebelum ini.
Selepas hubungan dengan seorang ahli perniagaan tidak kesampaian, timbul pula gosip yang mengaitkan Azira dengan aktor duda sensasi, Sharnaaz Ahmad.
Segala-galanya berpunca apabila Azira dan Sharnaaz sering mengadakan siaran langsung bersama dalam media sosial. Dari situ timbullah komen berbau romantis ditinggalkan pelakon filem Jebat itu dalam hantaran dikongsi Azira.
Bagaimanapun, spekulasi percintaan mereka terbang bagai angin lalu hingga ada menyangkakan hubungan rahsia yang terjalin sudah menemui titik noktah.
Mengulas perkara itu, pemilik nama lengkap Azira Shafinaz Ramlan sekali lagi menegaskan, dia dan Sharnaaz tidak pernah menjalinkan hubungan istimewa, sebaliknya mereka hanya rakan baik.
“Sejujurnya, saya penat apabila diajukan pertanyaan hubungan saya dengan Sharnaaz. Namun, saya lega apabila perkara ini tidak hangat diperkatakan lagi.
“Saya tahu ramai mengharapkan sesuatu daripada perhubungan ini, namun, saya dan Sharnaaz berkawan atas landasan rakan selebriti.
“Namun, perhubungan baik ini kekal hingga hari ini,” katanya kepada BH Online.

Pernah kecewa gara-gara hubungan cinta bertahun-tahun lamanya kecundang di pertengahan, namun anggota De Fam ini tidak pernah meletakkan dinding pemisah untuk mana-mana lelaki yang mahu mendekatinya.
“Jujurnya, memang ada lelaki cuba mendekati saya. Tetapi, saya mendambakan lelaki yang mahu menjalinkan hubungan serius, bukannya sekadar berkawan sahaja.
“Saya baru sahaja meraikan ulang tahun ke-31 pada Isnin lalu. Antara doa dipanjatkan agar dipertemukan jodoh dengan lelaki yang serasi.
“Mungkin ramai beranggapan saya masih single disebabkan terlalu memilih. Saya bukan memilih, cuma saya penat dan malas untuk memikirkan soal jodoh lagi.
“Namun, ia tidak bermakna saya menutup pintu hati menerima lelaki dalam hidup,” ungkap aktres jelita ini.
Tidak pernah lekang menjadi perhatian, pelakon filem Penunggang Agama dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu sekali lagi menjadi bahan perdebatan dalam media sosial apabila netizen mengecam penampilannya yang dikatakan semakin berani dan seksi.
Enggan mengeruhkan keadaan, pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Seribu Rindu itu berkata, setiap orang boleh melemparkan apa sahaja pandangan, ini kerana dirinya tiada kudrat menghalangnya.
“Saya tiada komen soal imej makin seksi. Netizen bebas memberikan pandangan dan saya pula tidak boleh menutup mulut mereka.
“Saya sedar menerusi gambar dalam IG, netizen boleh membuat pelbagai andaian mengenai saya. Apa yang boleh saya katakan, doakan saya sahaja,” ujarnya.
Menjawab persoalan adakah merasakan imejnya banyak berubah dan semakin daring, Azira berkata, agak sukar untuknya menilai diri sendiri.
“Netizen boleh menilai saya macam-macam, tetapi agak sukar untuk saya menilai diri sendiri.
“Saya memahami situasi ini, tetapi ia tidaklah memberi saya tekanan,” ungkapnya.

Azira bakal muncul dengan filem Talbis Iblis arahan Kabir Bhatia tidak dapat menyembunyikan perasaan berdebar menantikan reaksi peminat pada 20 Oktober ini.
“Bohonglah jika saya tak gementar. Kerana inilah kali pertama saya memegang watak utama dalam filem dan bergandingan pelakon hebat seperti Nasha Aziz.
“Filem Talbis Iblis memberi cabaran buat saya kerana perlu melakonkan babak melahirkan anak. Saya rasakan mencabar kerana belum pernah berdepan pengalaman sedemikian.
“Saya harap peminat dapat menyokong filem Talbis Iblis apabila ditayangkan di pawagam.
“Saya percaya orang Malaysia suka filem seram dan mistik, jadi saya harap mereka menyukai filem ini,” kata Azira.
Filem Talbis Iblis terbitan Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures, A Next Start Production dan MM2 Entertainment pernah ditayangkan di Festival Filem Far East Ke-24 di Itali pada April lalu.
Selain Azira dan Nasha, filem Talbis Iblis turut dibintangi Zul Ariffin, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis, Izzy Reef, Daniella Sya, Zaftfarrel Mikhael Felton dan Putri Syahadah Nurjannah.
Kredit: Berita Harian