Kuala Lumpur : Pelakon Siti Khadijah memohon maaf kepada Anna Jobling apabila dikatakan seakan-akan menyindir pelakon wanita itu di media sosial.

Siti Khadijah berkata, perkongsiannya di media sosial itu sekadar luahan hati tanpa niat untuk mengaibkan atau memburukkan mana-mana pihak.

“Saya berfikir dua kali sebelum memuat naik paparan terbabit kerana saya memang tiada niat hendak mengaibkan mana-mana pihak.

“Saya dengan Anna kawan bukannya lawan. Mungkin penulisan saya disalah anggap sesetengah pihak. Ikhlas dari hati, saya ingin memohon maaf kepada Anna dan Merqeen atas kata-kata saya di laman sosial menyinggung perasaan mereka.

“Saya ambil peluang ini untuk mohon maaf kepada mereka. Tak ada niat buruk pun dekat mana-mana pihak,” katanya.

Terdahulu, Anna meluahkan rasa kecewa apabila mengetahui dirinya menjadi bahan sindiran rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya.

Pelakon drama Ash & Aish itu mengakui kesal dengan tindakan individu berkenaan kerana tidak berterus terang sebaliknya menulis menerusi sosial media.

Selepas Anna mengeluarkan kenyataan terbabit, netizen di laman sosial mula mengaitkan nama Siti Khadijah yang didakwa adalah individu yang diperkatakan Anna.

Mengambil apa yang terjadi sebagai pengajaran buat dirinya, Siti Khadijah berkata, dia akan lebih berhati-hati dalam setiap perkongsiannya di media sosial selepas ini.

“Apa yang terjadi, saya ambil sebagai pengajaran sebab saya pun baru dalam industri ini dan masih cari rezeki. Lepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam setiap penulisan di laman sosial.

“Saya memang tak niat langsung nak burukkan mana-mana pihak. Kepada sesiapa nak tegur, tegurlah. Mungkin cara penulisan saya Itu salah.

“Andai boleh undur masa, saya tak nak pun tulis benda yang akan jadi isu, saya tak nak terpalit dengan kontroversi yang tidak baik,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *