USTAZ Don ketika majlis pelancaran program Geng Ta’alim.
PENGACARA dan pendakwah, Ustaz Don Daniyal berharap golongan agamawan atau asatizah dan artis saling bermuafakat terutama dalam membangunkan sektor seni berlandaskan Islam.
Tegasnya, hiburan bukan satu kesalahan, namun tatacara bagi umat Islam menghadiri konsert mampu menguraikan polemik berkenaan perselisihan pendapat dalam kalangan asatizah dan artis yang kini menjadi perdebatan di media sosial.
“Malaysia adalah negara berbilang kaum, jangan fikir umat Islam sahaja. Sebab itu kita kena fikir secara menyeluruh tanpa meninggalkan mana-mana sektor, kaum, agama dan sensitiviti.
“Berbalik kepada garis panduan tadi, kita fokus kepada umat Islam dan bagi tempoh percubaan. Setiap perkara perlukan masa untuk menjadi kebiasaan. Jangan terus kita bertelagah pendapat.
“Mungkin perlukan masa setahun atau dua dulu sebelum penguatkuasaan pula dilaksanakan. Kita tak boleh tutup jalan konsert terus kerana Malaysia negara majmuk.
“Kita perlu melihat penganjurannya dalam konteks menjana ekonomi serta menarik pelancong. Kita perlu wujudkan kelestarian,” katanya pada majlis pelancaran program Geng Ta’alim yang disiarkan menerusi Astro Oasis bermula Isnin lalu.
Dalam pada itu, beliau berharap agensi berkaitan membuat garis panduan untuk umat Islam mengikuti konsert, berbanding mendesak kerajaan menyekat penganjuran persembahan mega penyanyi antarabangsa.
“Pendirian saya tetap selari dengan mufti iaitu perkara yang membabitkan maksiat kita jangan sokong, tetapi jangan pula kita terus jatuhkan hukum dan meletakkan dosa kepada semua perkara.
“Konsert itu apa hukumnya? Kalau kita kata konsert itu haram, jadi bermakna konsert nasyid juga haram? Jangan kita hanya pandang pada satu arah. Kena tengok asasnya apa.
“Saya bukan nak campurkan antara batil dan benar, cuma mahu kita mengeluarkan pendapat secara rasional. Kaedah paling diperlukan sekarang adalah tetapkan garis panduan bagaimana orang Islam hendak ke konsert.
“Jadi, pihak berkaitan patut sama-sama buat garis panduan supaya masyarakat dibiasakan dengan tatacara menghadiri persembahan, selain memberi tempoh percubaan sebelum melaksanakan penguatkuasaan,” katanya.
Terdahulu Pencetus Ummah (PU) Syed menggesa pihak berkuasa membatalkan konsert Blackpink pada Mac tahun depan dengan menyifatkan ia sebagai ejen dajal yang menyelinap masuk ke negara Islam.
Malah pendakwah bebas yang sebelum ini turut mendesak persembahan mega Billlie Eilish di Bukit Jalil dibatalkan turut meluahkan hasrat mengadakan perhimpunan khas sebagai simbolik menentang penganjuran konsert seumpama itu.
Kenyataan itu mencetuskan pelbagai reaksi termasuk daripada selebriti tempatan termasuk Nabila Huda yang menganggap pendapat PU Syed sebagai tidak matang.
kreadit : hmetro