KUALA LUMPUR: Atilia Haron berkongsi berita gembira ibunya, penyanyi veteran popular, Salamiah Hassan selamat bernikah dengan jejaka berasal dari Liverpool yang menetap di Australia, iaitu Gerry Hughes.
Atilia berkata, Salamiah, 71, dan Hughes, 68, dinikahkan dalam majlis sederhana di Burnie, Tasmania, kira-kira jam 9 pagi tadi.
“Alhamdulillah, mama selamat bernikah, pagi tadi. Perasaan saya berbaur, dalam gembira, saya sedih sebab Mama akan berpindah ke Australia.
“Arwah bapa saya pula baru meninggal dunia, sebulan lalu. Saya rapat dengan mama, ke mana pun kami selalu bersama, apatah lag, saya anak perempuan tunggal.
“Namun, saya sangat gembira untuk mama. Selama ini, mama berdikari dan saya tidak pernah sangka dia akan berkahwin.
“Malah, sebelum ini, mama beritahu, dia takkan berkahwin kerana gembira hidup seorang dan berjalan dengan kawan-kawan. Bagaimanapun, saya percaya Hughes boleh membahagiakan mama,” katanya kepada BH Online.
Atilia turut menyaksikan pernikahan ibunya menerusi panggilan video. Salamiah dan Hughes mula berkenalan sejak kira-kira 15 tahun lalu.
“Mama dan Hughes sudah 15 tahun berkawan. Secara jujurnya, saya dan adik tidak tahu kisah percintaan mereka. Difikirkan, mereka hanya berkawan.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, mereka kembali berkomunikasi dalam talian. Mama kemudian pergi melawat sepupu saya di Melbourne dan mama berjumpa Hughes.
“Ketika itu, Hughes melamar dan mama terbuka hati kerana merasakan Hughes adalah lelaki yang tepat,” katanya.
Atilia merancang ‘terbang’ ke Australia untuk berjumpa bapa tirinya berikutan mereka belum berkesempatan berkenalan lebih lanjut.
“Saya tidak pernah berjumpa Hughes. Saya sudah memohon visa tapi ditolak sebab saya terlupa hendak sertakan salinan pasport.
“Selepas menjayakan beberapa persembahan sudah ditetapkan, saya akan pergi,” katanya.
Walaupun tidak pernah berjumpa dan hanya berbual menerusi panggilan video, Atilia percaya ibu sudah membuat pilihan tepat.
Malah, Atilia menganggap masanya sesuai untuk ibunya kembali berpasangan selepas 35 tahun hidup sendiri.
“Saya terkejut apabila mama panggil saya dan Shah (adik) masuk bilik untuk beritahu kami, kira-kira tiga bulan lalu. Kami fikirkan mama sakit. Dahulu mama pernah menghidap kanser payudara.
“Rupa-rupanya mama mahu beritahu dia hendak berkahwin. Kami kemudian buat panggilan video kepada Hughes dan beliau meminta izin kami.
“Hughes jejaka baik. Kita boleh rasa bila seseorang itu ikhlas atau tidak. Walaupun kami tidak pernah berjumpa, kita boleh rasa.
“Hughes turut mengucapkan terima kasih kerana menerima dirinya dan beritahu dia sangat mencintai mama,” katanya.
Salamiah pernah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Raja Haron Raja Aziz dan berpisah pada 1986.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Atilia dan Raja Ahmad Shah.
Allahyarham Raja Haron meninggal dunia pada 28 Julai lalu akibat masalah jantung.
SUMBER ASAL :- https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2022/09/995588/salamiah-hassan-bernikah-selepas-35-tahun-hidup-sendiri?fbclid=IwAR0fSnBocwlq7DuVnL9btm2NgTWWppRMFSoY7gNnupI1YOupYV8TRBojjik